mk-logo
Berita
Bapa Altantuya mohon kebenaran rayu keputusan saman sivil
Diterbitkan:  Feb 24, 2026 3:10 PM
Dikemaskini: 7:10 AM

Setev Shaariibuu, bapa kepada mendiang warganegara Mongolia, Altantuya, memfailkan permohonan kebenaran di Mahkamah Persekutuan untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan dalam saman sivilnya.

Peguam Setev, Sangeet Kaur Deo berkata permohonan itu akan meminta mahkamah tertinggi negara mempertimbangkan beberapa persoalan undang-undang dalam saman tersebut, termasuk skop liabiliti vikarius kerajaan dalam kematian Altantuya.

“Antara lain, ini termasuk persoalan berkaitan skop liabiliti vikarius kerajaan, yang tindakan ejen negara mengakibatkan kehilangan nyawa secara menyalahi undang-undang dan kerangka berkanun yang mengawal ganti rugi dalam tuntutan sivil yang timbul daripada pembunuhan tidak sah.

“Memandangkan kepentingan awam isu-isu ini, adalah wajar ia dipertimbangkan oleh Mahkamah Persekutuan, yang akan mempunyai peluang untuk menjelaskan undang-undang dalam bidang penting ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sangeet Kaur Deo

Kes itu ditetapkan untuk pengurusan kes pada 19 Mac di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Wan Norazimin Kassim.

Pada 20 Jan, Mahkamah Rayuan membebaskan sepenuhnya kerajaan daripada liabiliti atas kematian Altantuya dengan membenarkan rayuan mereka terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2022.

Ia juga mengurangkan ganti rugi global yang diperintahkan mahkamah pada asalnya sebanyak RM5 juta kepada RM1.4 juta yang perlu dibayar kepada keluarga si mati.

Mahkamah Rayuan turut menolak rayuan berasingan yang difailkan oleh defendan ketiga, penganalisis politik Abdul Razak Baginda.

Saman keluarga

Pada 16 Dis 2022, Mahkamah Tinggi memerintahkan semua defendan — iaitu Razak, kerajaan dan bekas komando Unit Tindakan Khas Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar — membayar pampasan RM5 juta kepada keluarga Altantuya atas pembunuhannya.

Altantuya Shaariibuu

Tiga plaintif — ibu bapa Altantuya, Setev dan Altantseseg Sanjaa, serta adik lelaki Mungunshagai Bayarjargal — menyaman dengan jumlah RM100 juta.

Model Mongolia itu dibunuh pada Oktober 2006, dan mayatnya diletupkan dengan bahan letupan gred tentera.

Mahkamah jenayah berasingan mensabitkan Azilah dan Sirul atas pembunuhan tersebut dan menjatuhkan hukuman mati kepada mereka pada April 2009.

Bagaimanapun, mahkamah jenayah membebaskan Razak daripada tuduhan bersubahat dalam pembunuhan itu pada Oktober 2008 tanpa dipanggil membela diri.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS