Aktivis Arun Dorasamy mempersoalkan amalan "dwi standard" pihak berkuasa dalam penguatkuasaan undang-undang terhadap mereka yang cuba merobohkan rumah ibadat tanpa kebenaran, sambil menyoal adakah tindakan serupa akan diambil jika ia melibatkan masjid atau surau.
Arun turut mempersoalkan mengapa individu yang mendakwa dirinya sebagai aktivis, Tamim Dahri, yang cuba merobohkan sebuah kuil Hindu di Rawang Perdana pada 11 Februari lalu, "terlepas begitu sahaja" manakala ahli jawatankuasa kuil pula berdepan ancaman pengusiran dan pertuduhan menceroboh.
“Jika kita terbalikkan senario ini, fikirkanlah... Jika isu ini berlaku kepada surau atau masjid, adakah situasinya akan jadi begini?

“Jadi, kita semua berhak untuk marah dan kecewa. Namun kita masih menunggu penyelesaian dengan tenang,” kata Arun kepada pemberita di luar Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, hari ini.
‘Langsung tidak boleh diterima’
Tamim dan tiga individu lain ditangkap pada 11 Februari selepas merosakkan kuil tersebut, namun dibebaskan sehari kemudian selepas Mahkamah Tinggi membatalkan perintah reman selama dua hari.
Kuil itu dikatakan berada di atas tanah persendirian milik Yayasan Kubra, dan yayasan tersebut didakwa mengupah Tamim untuk merobohkan rumah ibadat berkenaan.
Arun, yang mewakili NGO Pasukan Bertindak Pemeliharaan Kuil (Tepat), bercakap kepada media selepas menemani R Ahrindran, ketua jawatankuasa kuil terlsebut, untuk membuat laporan polis terhadap pihak berkuasa.
Ketua jawatankuasa kuil itu mendakwa seorang pegawai polis dari Gombak telah mengancam untuk mendakwanya di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana menceroboh jika kuil tersebut gagal dikosongkan menjelang 23 Februari.
Di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan, hukuman bagi pencerobohan termasuk penjara maksimum enam bulan, denda sehingga RM3,000, atau kedua-duanya sekali.

Arun menyifatkan ancaman sedemikian oleh pihak polis sebagai "langsung tidak boleh diterima" dan menyatakan bahawa ia menetapkan preseden yang boleh mencetuskan ketegangan kaum dalam pertikaian tanah melibatkan rumah ibadat.
Arun juga menegaskan bahawa mereka berharap untuk menyelesaikan perkara itu secara baik, namun bersedia untuk ke mahkamah jika keadaan meruncing.
Dia mengingatkan bahawa kuil tersebut telah wujud sejak tahun 1990-an dan berkata mereka bersedia untuk menunjukkan bukti di mahkamah mengenai kewujudan kuil itu sebelum pertikaian bermula.
'Buli dan intimidasi'
Secara berasingan, menyentuh mengenai ancaman pertuduhan menceroboh, peguam Rajesh Nagarajan menegaskan bahawa dari sudut undang-undang, isu ini harus dilihat sebagai pertikaian antara pihak persendirian, dan polis tidak mempunyai kuasa untuk membuat ancaman sedemikian.
Dia menggesa pihak berkuasa dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk menyiasat perkara itu dan berkata tindakan serupa turut diambil terhadap pengerusi sebuah kuil Hindu di Dengkil minggu lalu.

Rajesh mengingatkan bahawa pemilik tanah secara sah wajib mendapatkan writ milikan jika mereka berhasrat untuk mengusir Ahrindran dan kuil tersebut, sambil menyifatkan taktik polis sebagai satu bentuk buli, intimidasi, dan "sama sekali tidak sah".
Selain itu, peguam Sachpreet Singh memberi amaran kepada ahli politik agar tidak mengeluarkan kenyataan yang berpotensi mencetuskan kebencian kaum, sambil menyifatkan tindakan Tamim sebagai "bahaya kepada masyarakat berbilang kaum kita".
“Ini bukan cara isu agama harus diselesaikan di Malaysia. Kita mengamalkan toleransi. Kita tidak mengambil tindakan sendiri. Ahli politik kita, dan terutamanya perdana menteri, mempunyai peranan dalam kenyataan yang mereka keluarkan.
“Mereka mesti sangat berhati-hati dalam menangani isu sebegini. Mereka harus mendekati perkara ini dengan minda untuk menyelesaikan masalah, bukan untuk mewujudkan permusuhan lanjut antara kaum.
“Tindakan mesti diambil terhadap Tamim. Dia tidak boleh terlepas begitu sahaja,” katanya.

Pada 13 Februari, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata bagi rumah ibadat tanpa kebenaran yang dibina di atas tanah milik persendirian, proses sedia ada memerlukan pemilik tanah melantik peguam dan mendapatkan perintah mahkamah sebelum sebarang pengusiran atau perobohan boleh dilakukan.
Mengambil kira faktor keselamatan, Amirudin berkata Majlis Keselamatan Selangor memutuskan bahawa pemilik tanah yang mendapati berlaku pencerobohan, termasuk pembinaan rumah ibadat tanpa kelulusan, mesti membuat laporan polis.
Amirudin berkata pemilik tanah juga mesti mengeluarkan notis kepada pihak yang menceroboh dan memaklumkan perkara itu secara rasmi kepada pejabat daerah.
Minggu lalu, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengingatkan orang ramai bahawa mereka bebas mengamalkan kepercayaan masing-masing asalkan ia mengikut lunas undang-undang.
Anwar memetik kes sebuah surau di Perak yang telah dirobohkan kerana gagal mematuhi peraturan.
Perdana menteri turut menegaskan bahawa kumpulan vigilante tidak seharusnya mengambil tindakan sendiri dan hanya pihak berkuasa yang boleh merobohkan bangunan.
