Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Adun Bersatu bidas Tun Faisal, tegaskan kedudukan blok Bebas hak Speaker
Diterbitkan:  Feb 24, 2026 4:09 PM
Dikemaskini: 8:09 AM

Tiada keperluan untuk mengubah kedudukan bekas ahli Parlimen Bersatu yang dilucutkan keahliannya oleh parti itu selagi mereka masih menyokong blok pembangkang.

Adun Sungai Manek, Zainol Fadzi Paharudin berkata, kuasa menentukan kedudukan kerusi dalam Dewan Rakyat terletak di bawah bidang kuasa Speaker dan merupakan amalan biasa mengikut sistem negara-negara Komanwel.

"Memang di negara kita ada ahli Parlimen Bebas dan juga Adun Bebas. Mereka boleh menentukan sokongan dalam dewan. Jika dia sokong kerajaan, maka duduklah di blok kerajaan dan begitu juga sebaliknya.

"Jika dia ahli Bebas yang menyokong blok pembangkang, maka kerusinya di blok pembangkang. Bukan semata-mata soal parti yang diwakili menentukan kedudukan kerusi dalam Dewan Rakyat," kata Adun Bersatu itu dalam kenyataan hari ini.

Zainol berkata demikian bagi menjawab kenyataan Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz yang meminta supaya ahli Parlimen Bersatu yang dipecat dialihkan kedudukan mereka di Dewan Rakyat.

Tun Faisal sebelum ini berkata, dalam konteks Dewan Rakyat di negara ini, seseorang yang bukan lagi ahli parti tidak mempunyai legitimasi untuk terus berada dalam blok parti asal atau gabungan pembangkang rasmi.

Oleh itu katanya, ahli Parlimen yang telah dipecat sewajarnya dipindahkan segera ke blok Bebas bagi mencerminkan kedudukan politik sebenar.

"Begitu juga dengan semua jawatan yang diperoleh atas kuota parti atau blok pembangkang seperti ketua pembangkang, ketua whip, pengerusi jawatankuasa Parlimen, dan portfolio pembangkang hendaklah dianggap terbatal secara prinsip apabila seseorang ahli Parlimen kehilangan status keahlian parti.

"Jawatan-jawatan tersebut adalah milik institusi parti dan blok pembangkang, bukannya hak peribadi individu," kata Tun Faisal dalam satu kenyataan berasingan.

Jelasnya, kelewatan dalam melaksanakan pemindahan status dan penggantian jawatan bukan sahaja menimbulkan kekeliruan, malah boleh menjejaskan kredibiliti Perikatan Nasional (PN) sebagai pembangkang dan institusi semak dan imbang dalam Parlimen.

Sementara itu, Zainol berkata jawatan seperti ketua pembangkang atau ketua whip pembangkang sepatutnya ditentukan dalam kalangan ahli-ahli Parlimen pembangkang sendiri dan bukan hanya oleh parti dalam blok berkenaan.

"Cuma kebetulan selepas PRU15, PN adalah blok pembangkang yang memilih ketua pembangkang. Hakikat sebenarnya, ia boleh sahaja diputuskan oleh kalangan ahli Parlimen dalam blok pembangkang.

"Syarat wajib dalam dewan mesti ahli Parlimen atau Adun. Mereka yang memilih siapa jadi perdana menteri dan siapa jadi ketua pembangkang dalam dewan. Sebab itu SD (akuan bersumpah) yang laku dalam menentukan perdana menteri hanya daripada ahli Parlimen dan bukan ketua penerangan parti," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS