Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Akaun Tik Tok guna AI, tiru wajah dan suara Exco Johor untuk penipuan

Polis mengesahkan menerima laporan berkaitan penyalahgunaan gambar dan suara Exco Johor dengan menggunakan kecerdasan buatan (AI) bagi menyebarkan maklumat tidak benar berkaitan Bantuan Kasih Johor (BKJ) dipercayai bagi tujuan penipuan.

Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad berkata laporan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor Khairin-Nisa Ismail@Md On yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom itu diterima pada Jumaat lepas.

Beliau berkata kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah berjaya mengesan 12 akaun TikTok yang digunakan bagi menjalankan kegiatan penipuan terbabit.

"Hasil siasatan awal mendapati akaun berkenaan beroperasi di luar negara. Akaun itu juga ada yang dikesan telah dibuka sejak 9 Feb lepas," katanya pada sidang media di Johor Bahru hari ini.

Ab Rahaman berkata akaun itu yang meminta mangsa memasukkan maklumat termasuk nombor akaun bank dan telefon sebaik menekan pautan laman web di akaun terbabit, dipercayai digunakan bagi mencuri maklumat peribadi.

"Apa yang membimbangkan, (penipuan berkaitan BKJ) ini juga akan membuatkan masyarakat beranggapan semua rakyat dapat (BKJ), tetapi sebenarnya mereka yang layak sahaja... jadi kita tidak mahu masyarakat tertipu," katanya.

Beliau berkata polis sedang meneliti akaun itu bagi mengenal pasti pemilik sebenar dan penglibatan mana-mana pihak dalam aktiviti berunsur penipuan atau penyebaran maklumat palsu.

Ab Rahaman berkata Jabatan Siasatan Jenayah Komersial juga sedang bekerjasama dengan MCMC bagi membolehkan akaun dan laman web berkenaan dapat diturunkan dengan kadar segera.

"Kita juga tidak menolak kemungkinan kewujudan pelbagai akaun tersebut sebagai modus operandi terancang yang menggunakan teknologi Al bagi meniru personaliti individu berprofil tinggi untuk meningkatkan kepercayaan orang ramai," katanya.

Bagaimanapun setakat ini, katanya tiada laporan polis dibuat oleh mangsa yang kehilangan wang akibat penipuan itu manakala kes disiasat lanjut mengikut Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak melayari laman web mencurigakan yang menggunakan lambang kerajaan negeri dan merujuk saluran rasmi yang boleh dipercayai terlebih dahulu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS