Kekurangan ketelusan pihak berkuasa dalam meminda pertuduhan rogol terhadap penyerang seorang ibu menimbulkan kemarahan seorang ahli Parlimen DAP, yang memberi amaran keadaan ini boleh menjejaskan keyakinan orang ramai.
Lim Lip Eng meminta penjelasan daripada Kementerian Dalam Negeri apakah siasatan semula akan dijalankan dalam kes melibatkan Loh Wai Mun.
Ahli Parlimen Kepong itu menegaskan bahawa mangsa tidak dirujuk terlebih dahulu sebelum pihak pendakwaan memutuskan untuk mengurangkan pertuduhan terhadap penyerangnya.
Ahli parlimen itu juga meminta KDN memberikan jumlah sabitan kes rogol sejak 2015 bagi setiap negeri.
Dalam jawapan bertulis Parlimen semalam, KDN tidak menjawab mengenai mengapa Loh tidak dimaklumkan mengenai perubahan pertuduhan dalam kesnya.
Sebaliknya, kementerian itu menegaskan bahawa pindaan pertuduhan - daripada Seksyen 376 Kanun Keseksaan bagi rogol kepada Seksyen 354 bagi serangan dengan niat mencabul kehormatan seseorang - adalah atas budi bicara peguam negara selaku pendakwa raya awam.
Seksyen 376 memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan disebat bagi jenayah rogol. Mereka yang disabitkan di bawah Seksyen 354 pula boleh dipenjara maksimum 10 tahun, didenda atau sebatan.

Kementerian itu berkata perubahan pertuduhan biasanya dibuat berdasarkan bukti yang ada supaya peluang sabitan di mahkamah lebih tinggi.
Mengulas respons kementerian terhadap soalannya, Lim mengkritik kegagalan menjawab soalan asas iaitu mengapa Loh tidak dimaklumkan apabila pertuduhan terhadap lelaki itu dikurangkan.
“Dia tidak dimaklumkan dan tidak diberikan sebarang penjelasan. Itu tidak boleh dipertahankan. Mangsa berhak mendapat ketelusan dan penghormatan, bukan kerahsiaan,” kata Lim kepada Malaysiakini hari ini.
Dakwaan kesilapan polis, AGC
Pada 9 Jun tahun lalu, Loh, bekas pekerja industri IT, didakwa diikat, dibius dan diserang secara seksual oleh bekas jirannya di pejabat lelaki itu, dengan pelaku didakwa pada 26 Jun di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan rogol.
Namun, Loh mendakwa dia tidak menyedari bahawa pertuduhan rogol terhadap penyerangnya telah diubah selepas peguam kepada lelaki itu memfailkan surat representasi kepada Jabatan Peguam Negara.

Dia yang tinggal di Bandar Utama itu juga mendakwa terdapat kelemahan serius dalam cara polis mengendalikan kesnya, termasuk apabila seorang pegawai di balai polis Kota Damansara mengarahkannya pulang dan mandi terlebih dahulu sebelum berjumpa pegawai penyiasat.
Loh juga mendakwa polis memberi jaminan bahawa terdapat bukti mencukupi dalam kes itu selain memberitahunya supaya “jangan bagi banyak kerja” kepada polis.
Bulan lalu, Peguam Negara Dusuki Mokhtar memberitahu Malaysiakini bahawa pertuduhan rogol itu diubah kerana masalah berkaitan bukti, termasuk percanggahan penting dalam keterangan mangsa.
Jabatan Peguam Negara telah memberikan penjelasan serupa kepada Loh selepas dia meminta penjelasan, namun ia tidak menjawab dakwaan pelanggaran hak Loh di bawah Seksyen 107A Kanun Tatacara Jenayah yang membenarkan pengadu mendapatkan maklumat mengenai perkembangan siasatan.
Jabatan itu tidak menjelaskan mengapa Loh tidak dibenarkan memberi kenyataan tentang kesan kejadian itu terhadap dirinya semasa mahkamah menjatuhkan hukuman, seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 183A Kanun Tatacara Jenayah.
Pakar undang-undang berpendapat usaha Jabatan Peguam Negara memberikan penjelasan adalah “tidak lengkap secara asasnya” kerana hanya memfokuskan budi bicara pendakwaan, sambil mengabaikan kemungkinan kegagalan polis pada peringkat siasatan yang mungkin menjejaskan bukti penting.

Banyak kes rogol tak didakwa
Dalam menjawab soalan Lim di Parlimen, KDN turut memberikan statistik kes rogol yang disiasat polis sehingga membawa kepada pertuduhan di mahkamah.
Tidak jelas berapa banyak kes mahkamah yang disebut kementerian itu berakhir dengan sabitan.
Menurut jawapan kementerian, sejumlah 17,609 kes rogol direkodkan antara 2015 hingga 2025. Daripada jumlah itu, kurang separuh (7,090 kes) menyaksikan pertuduhan dikenakan terhadap individu yang terlibat.
Dalam tempoh itu, Selangor merekodkan jumlah kes rogol tertinggi dengan 3,392 kes dan 1,575 pertuduhan, diikuti Johor (2,006 kes dan 806 pertuduhan), Sabah (1,817 kes dan 505 pertuduhan), dan Kedah (1,465 kes dan 465 pertuduhan).
Perlis mencatatkan jumlah kes rogol paling rendah, iaitu 275 kes dengan 116 pertuduhan.
Merujuk statistik yang disifatkannya “membimbangkan”, Lim berkata angka tersebut menunjukkan bahawa sepanjang sedekad lalu, purata lima kes rogol dilaporkan setiap hari di Malaysia.
“Ini tidak termasuk ramai mangsa yang tidak tampil kerana takut stigma atau hilang kepercayaan terhadap sistem. Lebih membimbangkan, hanya 40 peratus kes yang dilaporkan membawa kepada pertuduhan, dengan majoritinya langsung tidak sampai ke mahkamah.
“Ini bukan jurang kecil — ini keruntuhan sistemik. Apabila mangsa tidak dimaklumkan, apabila kebanyakan kes gagal sebelum pertuduhan difailkan, dan apabila data penting disembunyikan, keyakinan awam runtuh,” katanya.
Dia turut menggesa supaya penyiasatan dan pendakwaan kes rogol diperbaiki segera, dan menegaskan tiada lagi alasan prosedur atau birokrasi.
“Keadilan mesti telus, bertanggungjawab dan tegas dalam mempertahankan mangsa,” tegasnya.
