Sekumpulan ahli parlimen PKR menggesa kerajaan mempertimbangkan pindaan kepada rang undang-undang yang dicadangkan bagi memisahkan peranan peguam negara (AG) dan pendakwa raya, dengan menegaskan bahawa sokongan mereka terhadap rang undang-undang itu bergantung pada perubahan sedemikian.
Antara tuntutan yang dikemukakan oleh 10 ahli parlimen itu adalah agar Parlimen terlibat dalam pelantikan pendakwa raya, dengan berhujah bahawa rang undang-undang itu, dalam bentuknya sekarang, menumpukan kuasa antara perdana menteri dan Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP).
Merujuk kepada kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh pertubuhan sivil (CSO) susulan pembentangan rang undang-undang itu untuk bacaan pertamanya di Dewan Rakyat, ahli parlimen berkenaan menyokong desakan untuk memperkukuhkan lagi semangat pemisahan kuasa dan memperkukuh semak dan imbang dalam pindaan perlembagaan.
"Pertubuhan-pertubuhan sivil tersebut telah mencadangkan supaya pelantikan pendakwa raya melalui proses berlapis yang telus dan bertanggungjawab dengan melibatkan Parlimen (sebagai institusi terbesar yang dipilih oleh rakyat) di dalam proses ini,” kata mereka dalam satu kenyataan bersama hari ini.
"Kami bertanggungjawab menyampaikan hasrat pengundi-pengundi progresif yang mahukan proses berlapis seperti ini untuk mengelakkan kuasa melantik dan memecat pendakwa raya berpusat di kalangan beberapa orang sahaja.
"Sokongan kami kepada pindaan Perlembagaan ini (yang memerlukan undi dua pertiga) adalah bergantung dan tertakluk kepada keterbukaan kerajaan untuk mempertimbangkan cadangan-cadangan ini,” tambah mereka.

Kenyataan itu ditandatangani oleh Rafizi Ramli (Pandan), Wong Chen (Subang), Lee Chean Chung (Petaling Jaya), S Kesavan (Sg Siput), Onn Abu Bakar (Batu Pahat), Rodziah Ismail (Ampang), Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa), Zahir Hassan (Wangsa Maju), Hassan Karim (Pasir Gudang), dan Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau).
Tidak cukup bebas
Semalam, CSO termasuk Bersih, Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (Pusat C4), dan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) berpendapat bahawa rang undang-undang itu tidak mewujudkan tahap kebebasan dan keselamatan jawatan yang mencukupi dalam pelantikan pendakwa raya.
Menurut Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 2026, pendakwa raya akan dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, yang bertindak mengikut budi bicaranya, atas syor SPKP dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.
Walau bagaimanapun, CSO berkenaan berkata bahawa walaupun perdana menteri tidak terlibat secara langsung dalam proses tersebut, dia terlibat secara tidak langsung melalui pelantikan pengerusi SPKP, yang dilantik atas nasihat perdana menteri.
Oleh itu, kumpulan tersebut berhujah bahawa SPKP tidak dapat memenuhi peranan utama Parlimen untuk melaksanakan semak dan imbang institusi kerana keanggotaannya terdiri daripada individu yang dilantik ke jawatan rasmi mereka oleh perdana menteri.
Skandal 1MDB, kes Zahid
Sepuluh ahli parlimen PKR itu turut merujuk kepada "kejadian unik" pada masa lalu untuk menggambarkan gesaan mereka agar Parlimen terlibat dalam pelantikan pendakwa raya.
“Contoh yang baik adalah berhubung kritikan yang memuncak terhadap tingkah laku Peguam Negara (yang pada ketika itu memegang kuasa seorang Pendakwa Raya) semasa skandal 1MDB.
"Walaupun kritikan rakyat terhadap perilaku Peguam Negara ketika itu dalam mengendalikan siasatan skandal 1MDB turut diterjemahkan di Parlimen oleh ahli-ahli Parlimen, rakyat dan Parlimen tidak mempunyai apa-apa kuasa untuk mengambil tindakan terhadap Pendakwa Raya," kata mereka.
Baru-baru ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak mempunyai bantahan terhadap permohonan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi untuk pembebasan penuh daripada 47 pertuduhan rasuah yang melibatkan dana Yayasan Akalbudi.
Presiden Umno itu memfailkan permohonannya untuk mendapatkan pembebasan penuh pada 28 Januari tahun ini, susulan AGC mengisytiharkan tiada tindakan selanjutnya ke atas pertuduhannya selepas dia diberikan pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) pada September 2023.
Kumpulan ahli parlimen PKR itu selanjutnya mencadangkan bahawa daripada SPKP hanya mengesyorkan calon kepada Yang di-Pertuan Agong, sementara calon harus menjalani pendengaran pengesahan awam yang disiarkan di televisyen di hadapan jawatankuasa pilihan khas Parlimen (PSSC).
Selepas pendengaran itu, calon mesti memperoleh undi majoriti mudah di Dewan Rakyat sebelum dibentangkan untuk perkenan diraja.
Mereka juga menjamin peranan Parlimen dimasukkan ke dalam proses penyingkiran pendakwa raya, dengan menyatakan bahawa Dewan Rakyat sepatutnya dapat mengemukakan usul untuk memulakan proses tribunal terhadap pendakwa raya.
Mereka selanjutnya menggesa agar rang undang-undang itu dirujuk terlebih dahulu kepada PSSC mengenai hak asasi manusia, pilihan raya dan pembaharuan institusi untuk mendapatkan maklum balas merentas parti daripada ahli parlimen bagi menambah baik pindaan perlembagaan yang dicadangkan.
Di samping itu, mereka menegaskan bahawa tempoh jawatan pendakwa raya harus dihadkan kepada empat tahun, bukannya tempoh tujuh tahun yang dicadangkan, yang mereka anggap "terlalu lama" dan berpotensi menjadikan pendakwa raya "terlalu berkuasa" merentasi beberapa pentadbiran.
"Tempoh yang terlalu panjang juga akan memisahkan kuasa rakyat yang dizahirkan di peti undi dari mempunyai apa-apa makna kepada perjalanan pentadbiran undang-undang," tambah mereka.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Refromasi Institusi) Azalina Othman Said sebelum ini berkata pindaan tersebut akan dibentangkan untuk bacaan kedua pada 2 Mac.
Membahagikan fungsi perundangan dan pendakwaan Peguam Negara merupakan salah satu bidang pembaharuan utama yang dijanjikan oleh Pakatan Harapan, untuk memperkukuh kebebasan institusi dan menggalakkan ketelusan dan keadilan yang lebih tinggi dalam sistem perundangan negara.
