Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
SPRM dakwa tuduhan 'mafia korporat' cuba jejaskan siasatan sektor korporat
Diterbitkan:  Feb 24, 2026 8:07 PM
Dikemaskini: 12:37 PM

Di tengah-tengah desakan yang semakin meningkat untuk siasatan terhadap dakwaan bahawa pegawainya terlibat dalam skim "mafia korporat", SPRM mengeluarkan penafian tegas kedua dan menyifatkan dakwaan tersebut sebagai tidak berasas.

Dalam satu kenyataan petang ini, SPRM mendakwa bahawa tuduhan tersebut adalah sebahagian daripada kempen fitnah yang bertujuan untuk menjejaskan reputasinya.

"SPRM berpandangan bahawa tuduhan ini merupakan satu cubaan untuk mencemarkan kredibiliti siasatan dan tindakan penguatkuasaan suruhanjaya dalam sektor korporat, khususnya terhadap pihak-pihak yang mungkin terjejas oleh tindakan undang-undang yang sedang dijalankan," katanya.

SPRM juga menyifatkan isu berkenaan sebagai isu lama yang dikitar semula dan sengaja dimainkan semula bagi mencemarkan imej serta reputasi mereka.

Suruhanjaya itu berkata dakwaan yang dipetik dalam laporan Bloomberg baru-baru ini dipercayai berpunca daripada blog tanpa nama pemilik, penulis atau sumber yang boleh dikenal pasti.

"Suruhanjaya memandang serius penyebaran tuduhan palsu sedemikian, khususnya apabila ia boleh menjejaskan keyakinan awam terhadap tindakan penguatkuasaan yang dijalankan secara sah,” tambahnya.

SPRM menyatakan bahawa perkara itu sedang disiasat oleh polis, dan suruhanjaya itu akan memberi kerjasama penuh untuk memastikan fakta dan kebenaran dibuktikan mengikut undang-undang.

Suruhanjaya itu juga menggesa mana-mana individu yang mempunyai maklumat atau bukti yang boleh dipercayai berkaitan dengan rasuah atau salah laku untuk membuat laporan rasmi kepada pihak berkuasa yang berkaitan.

"Penyaluran maklumat melalui saluran yang sah membolehkan siasatan dijalankan secara teratur dan adil mengikut proses undang-undang, bukannya melalui perbicaraan media (trial by media) atau penerbitan tanpa bukti yang kukuh.

"SPRM kekal komited untuk melaksanakan mandatnya membanteras rasuah tanpa rasa takut atau pilih kasih dan tidak akan terhalang oleh sebarang cubaan untuk mencemarkan integriti atau mengganggu peranan dan fungsi suruhanjaya," tegasnya.

Terdahulu hari ini, Malaysiakini memetik setiausaha agung DAP, Anthony Loke, sebagai menyatakan bahawa parti itu akan mendesak penubuhan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) untuk menyiasat skim "mafia korporat" yang didakwa.

Berikutan itu, Presiden MCA, Wee Ka Siong juga menuntut siasatan yang teliti dan telus terhadap dakwaan itu.

Pada 12 Februari, Bloomberg melaporkan bahawa SPRM, termasuk pegawai kanan, didakwa berpakat dengan tokoh perniagaan tertentu untuk menyingkirkan pesaing dan mengatur pengambilalihan korporat.

Laporan itu memperincikan taktik di mana sekumpulan ahli perniagaan terpilih akan menyasarkan sebuah syarikat, kemudian memfailkan aduan SPRM terhadapnya. SPRM kemudian dikatakan akan menyiasat pengasas syarikat, mengenakan tekanan yang membolehkan pengadu menguasai syarikat tersebut.

Saksi mata, termasuk orang dalam dari SPRM, mendakwa bahawa beberapa ahli perniagaan atau wakil mereka hadir di pejabat agensi tersebut apabila pesaing mereka dibawa untuk disoal siasat.

Susulan laporan itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki menolak dakwaan tersebut sebagai tidak berasas.

Skandal ini muncul di tengah-tengah penelitian terhadap Azam, yang tempoh jawatannya telah dilanjutkan tiga kali oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim, berhubung pegangan saham ketua pesuruhjaya SPRM itu. Kes itu kini menjadi tumpuan siasatan berasingan.

Azam telah menafikan sebarang salah laku dan mengalu-alukan siasatan tersebut. Dia juga telah memfailkan saman fitnah RM100 juta terhadap Bloomberg.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS