Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Persatuan penjaja bimbang jenama besar masuk pasar Ramadan

Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM) menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) memperhalusi garis panduan penyertaan jenama besar di bazar Ramadan bagi melindungi kebajikan peniaga kecil.

Presiden GPPPKMM, Zainal Abidin Abd Majid berkata langkah itu perlu bagi memastikan semangat asal bazar Ramadan sebagai platform ekonomi golongan B40 dan usahawan mikro terus terpelihara.

"GPPPKMM tidak menolak persaingan sihat dalam perniagaan. 

“Namun begitu, kehadiran jenama berskala besar yang mempunyai kekuatan modal, jenama kukuh serta keupayaan pemasaran yang tinggi berpotensi mewujudkan ketidakseimbangan persaingan.

"Ini boleh memberi tekanan kepada peniaga kecil yang bergantung sepenuhnya kepada musim Ramadan untuk menampung kos sara hidup dan modal pusingan," katanya dalam kenyataan petang tadi.

Terdahulu tular laporan mengenai penyertaan jenama rangkaian besar dalam operasi perniagaan di tapak-tapak pasar Ramadan tahun ini.

Terdapat kebimbangan dalam kalangan pengguna maya bahawa ia mungkin menjejaskan rezeki peniaga kecil.

Bagaimanapun, terdapat pihak yang menyambut baik perkara itu sebagai persaingan sihat dan menawarkan harga lebih berpatutan kepada pengguna.

Malaysiakini sedang cuba menghubungi jenama popular itu bagi mendapatkan komen mereka.

Cadangan zon khas dan kuota

Bagi menangani isu tersebut, GPPPKMM mencadangkan agar PBT memberikan keutamaan kepada peniaga kecil tempatan dalam proses permohonan tapak.

Zainal berkata sekiranya jenama besar ingin turut serta, pihak berkuasa wajar mewujudkan kuota atau zon khas supaya tidak menjejaskan peluang penjaja kecil.

"Pihak berkuasa tempatan perlu memperhalusi garis panduan penyertaan agar keutamaan diberikan kepada peniaga kecil tempatan," katanya lagi.

Pada masa yang sama, GPPPKMM turut menggalakkan peniaga kecil untuk meningkatkan daya saing mereka melalui aspek kualiti, kebersihan, pembungkusan dan penggunaan teknologi pembayaran digital.

Zainal menegaskan bahawa gabungan itu turut bersedia untuk berbincang dengan kerajaan dan pemegang taruh bagi memastikan ekosistem bazar Ramadan kekal adil dan inklusif.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS