Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
"Anak saya bukan anak menteri" - AG digesa segera bertindak kes bunuh kadet Palapes

Keluarga Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang meninggal dunia tahun lalu, mendesak Jabatan Peguam Negara (AGC) menjelaskan kelewatan membawa pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

Bercakap kepada Malaysiakini, ibu mangsa, Ummu Haiman Bee Daulatgun, berkata dia semakin tertekan dan kecewa dengan situasi yang dilihatnya sebagai layanan pilih kasih dalam sistem keadilan negara.

"Saya sangat kecewa. Kenapa anak saya? Adakah kerana dia hanya orang biasa, hanya anak seorang guru sekolah?

"Sekiranya mangsa merupakan anak golongan elit, adakah tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa akan menjadi lebih pantas berbanding kes ini.

"Apa yang Peguam Negara akan lakukan jika perkara ini berlaku kepada anak seorang menteri atau anak salah seorang VIP? Mereka pasti akan bertindak sangat pantas.

"Saya menyeru AG untuk bertindak segera tanpa mengira latar belakang keluarga," kata Ummu yang merupakan guru sekolah.

Malaysiakini telah menghubungi pejabat AG untuk ulasan.

Syamsul Haris, 22, ditemui mati pada 27 Julai tahun lalu ketika sedang menjalani latihan Palapes di Ulu Tiram, Johor. Kematiannya pada mulanya diselubungi misteri sebelum keluarga mengesyaki wujud unsur jenayah.

Kecurigaan Ummu bermula apabila dia melihat kesan lebam dan pendarahan pada mata anaknya sebelum pengkebumian dilakukan pada 1 Ogos tahun lalu.

Ekoran itu, keluarganya memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk menggali semula kubur mangsa bagi menjalankan bedah siasat kedua, yang akhirnya dibenarkan oleh hakim pada 26 Ogos.

Proses eksumasi (gali semula mayat) dilakukan pada 30 Ogos, dan laporan bedah siasat daripada Jabatan Forensik Hospital Besar Kuala Lumpur (HKL) mengesahkan punca kematian adalah akibat kecederaan parah pada leher.

Penemuan forensik tersebut mendedahkan bahawa kecederaan traumatik pada leher itu dialami oleh Syamsul ketika dia masih hidup, sekali gus menolak andaian kematian mengejut tanpa unsur luar.

Berdasarkan laporan forensik itu, AGC pada 2 Disember tahun lalu secara rasmi mengarahkan kes tersebut disiasat sebagai kes bunuh, namun sejak itu, perkembangan kes dilihat seakan-akan terhenti.

Lepas tiga bulan kes iklasifikasi kes bunuh

Terdahulu, peguam keluarga, Naran Singh, mempersoalkan mengapa sehingga kini tiada sebarang tangkapan atau pendakwaan dibuat meskipun kes itu telah diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan sejak 2 Disember lalu.

"Sekarang kita sudah berada di penghujung Februari. Mengapa tiada apa-apa tindakan diambil sehingga hari ini?

"Mengapa pihak yang menyebabkan kematiannya belum dibawa ke mahkamah?" katanya kepada Malaysiakini.

Mengulas lanjut, Naran berkata pegawai penyiasat (IO) polis mengesahkan siasatan telah pun dilengkapkan dan kertas siasatan sudah diserahkan kepada AGC, namun mendakwa pejabat itu yang melambatkan proses keputusan atau tindakan susulan.

"Kini, selepas hampir tiga bulan kes diklasifikasikan sebagai pembunuhan, keluarga mangsa merayu agar Peguam Negara tidak lagi melengah-lengah dan memberikan noktah keadilan buat arwah Syamsul.

"Tolonglah AG, bangun dan beri perhatian kepada fail ini. Kami perlukan kesimpulan. Kami perlukan keadilan," tambah Naran.

Ummu sebelum ini juga terpaksa mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan dan Menteri Kesihatan untuk mendapatkan salinan laporan bedah siasat pertama bagi mencari kebenaran tentang apa yang berlaku pada awal siasatan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS