Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Kekeliruan’ struktur jawatankuasa punca kelemahan MyDigital ID

PARLIMEN | Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) menjelaskan bahawa "kekeliruan" terhadap struktur jawatankuasa merupakan antara faktor yang menyumbang kepada kelemahan tadbir urus dalam pengurusan projek pembangunan MyDigital ID oleh Mimos Bhd.

Menterinya, Chang Lih Kang berkata demikian dalam ucapan penggulungan selepas perbahasan Parlimen mengenai Laporan Ketua Audit Negara 2026 Siri 1, yang mendedahkan beberapa kelemahan dalam pelaksanaan awal projek identiti digital nasional tersebut di bawah Mimos.

Antara isu yang dibangkitkan ialah pihak audit mendapati Mimos telah membelanjakan RM28.13 juta antara Disember 2023 hingga Mac tahun lalu tanpa pengesahan awal daripada jawatankuasa pemandu dan jawatankuasa teknikal projek.

Menjelaskan perkara itu di Dewan Rakyat hari ini, Chang berkata perbelanjaan projek tersebut sebenarnya telah pun dibentangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pemandu (JKP) dan Jawatankuasa Teknikal (JKT) pada Februari 2024, dengan kedua-dua jawatankuasa telah mengambil maklum mengenai perkara tersebut.

"Selepas itu dalam bulan Mac projek ini telah pun diserahkan kepada MKN (Majlis Keselamatan Negara) sebagai penyelia projek

"Antara faktor yang menyumbang kepada kelemahan tadbir urus ialah kekeliruan akibat perubahan dalam struktur jawatankuasa yang telah menyebabkan ketidakselarasan dalam proses membuat keputusan dalam pelaksanaan projek," kata Chang.

Bagaimanapun, dia menegaskan bahawa tidak berlaku sebarang ketirisan dalam tadbir urus atau proses perolehan, sambil menekankan bahawa operasi projek tersebut kini dipantau oleh MKN di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Mosti menyelia Mimos sebagai pusat penyelidikan dan pembangunan. Pada 21 Julai 2023, Mimos telah dilantik sebagai agensi pelaksana projek MyDigital ID yang pada asalnya diletakkan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta Jabatan Pendaftaran Negara sebagai agensi penyelia.

Peruntukan pembangunan sebanyak RM80 juta telah disalurkan kepada Mimos, yang bertanggungjawab mengemukakan pecahan terperinci peruntukan tersebut kepada KDN.

Dana RM80 juta itu kemudiannya dipindahkan kepada MyDigital ID Sdn Bhd (MYDIDSB) pada 20 Feb 2024, selepas ia diperbadankan sebagai syarikat tujuan khas (SPV).

Laporan Jabatan Audit Negara yang dibentangkan di Parlimen semalam juga mendapati walaupun Mimos menuntut RM14.17 juta di bawah sub-skop E14 untuk pengurusan projek, sebanyak RM14.09 juta (99.4 peratus) daripadanya merupakan perbelanjaan operasi yang tidak selaras dengan garis panduan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Menurut laporan itu, perbelanjaan operasi tersebut merangkumi emolumen sebanyak RM14.09 juta untuk sehingga 98 pegawai, kos sumber berjumlah RM850,000 bagi 57 pegawai, faedah perubatan kakitangan, dan peralatan pejabat.

Mengulas isu tersebut hari ini, Chang memberitahu Dewan Rakyat bahawa Mosti mengambil maklum dan akur bahawa peruntukan pembangunan tidak boleh digunakan untuk menampung perbelanjaan operasi.

Bagaimanapun, dia berkata MyDigital ID Sendirian Berhad telah membentangkan perbelanjaan projek termasuk emolumen dan perolehan aset dalam mesyuarat JKT pada 6 September 2024, yang kemudiannya disahkan dalam mesyuarat JKP pada 25 Oktober tahun yang sama.

"MyDigital ID Sendirian Berhad selaku anak syarikat MIMOS pada ketika itu telah membentangkan perbelanjaan projek IDN termasuk perbelanjaan emolument," tambah Chang.

Dia seterusnya memberi jaminan bahawa peralatan Pihak Berkuasa Persijilan (CA) yang diperoleh Mimos—iaitu dua unit akses pintu dan sangkar keselamatan bernilai RM79,000—kekal di bawah hak milik MyDigital ID Sendirian Berhad dan digunakan oleh beberapa kementerian.

Laporan audit sebelum ini memperincikan bahawa pembangunan CA tersebut tidak dipersetujui oleh jawatankuasa berkaitan dan disyorkan untuk dikeluarkan daripada skop projek kerana Mimos bukan agensi pelaksana bagi CA. Perolehan itu juga dikatakan dibuat walaupun JKP sebelum ini bersetuju agar Mimos menyerahkan spesifikasi terperinci kepada KDN untuk proses penilaian nilai.

Chang turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Audit Negara atas “teguran profesional dan penemuan konstruktif” yang membantu kerajaan menangani kelemahan serta memperkukuh integriti dalam menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan awam.

“Jumlah pendaftaran MyDigital ID meningkat kepada 9.7 juta pendaftaran sehingga kini. MyDigital ID juga telah berjaya diintegrasikan dengan 92 aplikasi kerajaan dan swasta merentasi pelbagai sektor termasuk telekomunikasi, kewangan, dan kesihatan.

“Segala cadangan dan teguran akan diambil perhatian sewajarnya oleh pihak kementerian,” tambah Chang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS