KOMENTAR | Sebelum menyentuh untung rugi Arsenal, elok kita lihat dulu prestasi tidak menentu pasukan juara dunia, Chelsea.
Pada 21 Feb dan 22 Feb lalu berlangsung beberapa perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) yang menyaksikan Manchester City menggalahkan Newcastle 2-1, manakala Chelsea sekadar seri 1-1 dengan pasukan kedua tercorot – Burnley.
Chelsea mendahului 1-0 seawal minit keempat melalui jaringan Joao Pedro. Ia merupakan bayangan buat peminat Chelsea bahawa The Blues bakal membelasah Burnley sekurang-kurangnya 3-0.
Malangnya selepas gol tersebut permainan Chelsea semakin tidak menentu sehinggalah Wesley Fofana dikenakan kad kuning kedua pada minit ke-72 yang melayakkan dia dilayangkan kad merah.
Selepas itu mulalah pengurus Chelsea, Liam Rosenior, kehilangan punca. Ingatkan selepas Enzo Maresca balik kampung, perangai Chelsea akan berubah. Rupa-rupanya masih sama saja.

Pertukaran pemain dibuat secara tergesa-gesa. Misalnya Pedro dibawa keluar selepas menjaringkan gol untuk digantikan dengan Liam Delap.
Rosenior juga membuat pertukaran yang pelik dengan mengeluarkan Cole Palmer untuk memasukkan pemain pertahanan, Tosin Adarabioyo.
Keputusan seri itu bermakna Chelsea keciciran 17 mata semasa bermain di tempat sendiri pada musim ini.
Buat masa ini The Blues menduduki tangga kelima EPL selepas dipintas oleh Manchester United yang menundukkan Everton awal pagi tadi.
Memang United yang dikendalikan oleh pengurus sementara mereka, Michael Carrick, mempamerkan aksi yang semakin menarik dan boleh mencabar pasukan lain.
Kempunan tak disangka
Kita kembali kepada Arsenal. The Gunners pada empat musim lalu telah menduduki kedudukan naib juara liga sebanyak tiga kali. Ia bukanlah angka yang kecil dan remeh.
Ia ibarat sebuah kelab penjaga tunang yang akhirnya bernikah dengan dengan orang lain. Selama tiga musim Arsenal menjadi naib juara, tiga musim jugalah peminat mereka menangis di bucu katil.
Ada yang tidak tahan dipersenda mungkin memilih untuk keluar dari grup WhatsApp. Jika kebetulan penyokong Arsenal yang menjadi admin grup itu, mereka mungkin akan keluarkan ahli yang kuat ‘menganjing’ untuk seketika.
Apabila Arsenal kembali menang selesa, barulah ahli yang disingkirkan itu dibawa masuk semula.
Kali terakhir Arsenal menjuarai EPL ialah pada musim 2003/2004 apabila mereka meraihnya tanpa pernah kalah walaupun sekali.
Justeru kelab tersebut digelar The Invincibles sebelum bertukar menjadi un-sangka-rable kerana selalu tidak disangka-sangka kempunan pada saat-saat akhir.
Pada musim ini Liverpool bukanlah saingan kepada Arsenal kerana selepas memenangi EPL pada musim lalu, di bawah kendalian Arne Slot nasib Liverpool agak malang.

Cabaran sebenar Arsenal ialah dari Manchester City yang pernah menjuarai EPL empat kali berturut-turut sebelum disekat The Reds.
Kini City kembali menghantui The Gunners.
Pada 18 Feb lalu Arsenal cuma mampu seri 2-2 dengan pasukan paling corot, Wolves. Sebelum itu mereka seri 1-1 dengan Brentford. City pula menunjukkan Newcastle menjadikan perbezaan mata di antara kedua-dua kelab semakin tipis.
Cabaran seterusnya untuk Arsenal ialah pada 2 Mac ini apabila mereka perlu melayan The Blues di tempat sendiri. Dijangkakan Chelsea akan bermati-matian untuk setidak-tidaknya mendapat tempat ke Liga Juara-juara Eropah.
Jadual yang padat
Pada 5 Mac pula Arsenal akan menentang Brighton di tempat lawan. Brighton juga tidak boleh dipandang enteng kerana baru sahaja menewaskan pasukan paling liat di EPL iaitu Brentford dengan 2-0.
Pada 7 Mac Arsenal akan turun sekali lagi untuk cuba mencipta kenangan manis. Kali ini mereka akan melayan kelab Mansfield Town untuk pusingan kelima Piala FA. Kemudian ujian seterusnya ialah Everton pada 15 Mac.
Arsenal juga akan berhadapan dengan City dalam cabaran final Piala Carabao di Stadium Wembley pada 23 Mac.
Perlawanan seterusnya pada April nanti ialah menentang Bournemouth (11 April) di Emirates. Di atas kertas pertembungan itu menjanjikan kemenangan mudah buat The Gunners tetapi di atas padang, belum tentu.
Kemudian perlawanan yang dinanti-nantikan iaitu Arsenal – Manchester City di tempat lawan pada 18 April. Dijangkakan penyokong-penyokong berkecuali juga akan melekat di depan televisyen.
Kalau kalah, peminat Arsenal mungkin akan mendapat kad kiriman kesedihan sekali lagi. Sudah hampir bernikah tetapi kekasih diambil orang.
Selepas itu Arsenal akan bertemu Newcastle pada 22 Feb.
Jadual perlawanan memang padat, tetapi selepas melihat bagaimana Arsenal membelasah Tottenham Hotspur, kejayaan Arsenal untuk memenangi liga adalah terletak di tangan mereka sendiri.
SHAHRAY ZULKIFLI ialah bekas peguam di Brunei Darussalam sebelum bersara pada hujung 2023. Dia kini menjadi penulis dan penceramah bebas dalam bidang undang-undang keluarga Islam.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
