Selepas kira-kira enam tahun gigih menjaga ratusan kucing dan anjing – termasuk yang berkeliaran di jalanan – di sekitar bandar raya Kuantan, Pahang, Mohammad Arvin Abdullah kini berdepan dilema.
Berbanding sebelum ini, mulai bulan depan dia terpaksa berfikir lebih giat untuk memenuhi keperluan sendiri serta haiwan yang dipelihara.
Hal itu kerana Feb ini adalah bulan terakhir Mohammad Arvin, 43, mempunyai pekerjaan tetap. Mulai bulan depan dia menjadi penganggur. Dia tidak lagi bertugas sebagai juruteknik di sebuah syarikat di Kuantan.
"Bulan ni bulan terakhir saya ada kerja tetap, bulan depan saya nak cuba buat kerja sendiri dan harap ada rezeki untuk terus jaga semua kucing ini," katanya ketika ditemui di rumahnya di Bukit Setongkol, Kuantan, Pahang.
Mohammad Arvin berkata dia rasa bertuah kerana minat menjaga haiwan itu turut disokong isterinya, Nur Iwani Shahudin, 38, yang bekerja sebagai penjawat awam.
Namun, dia mengakui dengan pendapatan tidak seberapa yang mereka peroleh ketika ini, tugas menjaga ratusan kucing itu agak menyulitkan walaupun menyeronokkan.
"Kami berdua minat haiwan, dan bukan ada sesiapa suruh pun, tapi sebab kasihan apabila tengok mereka dalam keadaan terbiar, ada yang sakit, cedera dan lain-lain, kami ambil (jaga) hingga mereka dah sihat,” katanya.
Setiap bulan kata Mohammad Arvin pasangan itu membelanjakan sehingga RM7,000 untuk membeli makanan kucing dan anjing – termasuk yang di jalanan – selain kos urusan pemeriksaan kesihatan mereka.

Mohammad Arvin juga memberitahu dia pernah menjual tiga kereta miliknya untuk menampung kehidupan mereka berdua dan memastikan kucing peliharaan terus terjaga dengan baik.
"Ini zaman selepas Covid-19. Dengan kerja yang tidak menentu, pendapatan pun hilang, jadi saya jual kereta... bolehlah bantu sikit-sikit.
"Saya pun berbangga juga ada ramai kawan yang tampil memberi sumbangan khusus untuk kucing yang kami jaga di sini," jelasnya.
Sedia serah kepada keluarga angkat
Terdapat kira-kira 100 ekor kucing dipelihara pasangan itu di kediaman mereka.
Ditanya mengenai kawasan dia dan Nor Iwani selalu kunjungi untuk memberi makan kepada kucing jalanan, Mohammad Arvin berkata, antara kawasan itu ialah di sekitar Padang Lalang, Tanjung Api, Taman Gelora dan Jalan Wong Ah Jang.
Katanya Taman Gelora merupakan kawasan 'kegemaran' untuk orang buang kucing, justeru memang memang banyak kucing terbiar dan sakit di kawasan berkenaan.
"Macam anjing jalanan pula banyak di kawasan Jalan Wong Ah Jang. Kami kena tengok juga, kalau ada banyak bekalan bolehlah ke sana ke sini untuk beri makan kepada haiwan jalanan ini.
"Sebab kebanyakan makanan untuk mereka saya kumpul dari restoran dan kedai makan sekitar kawasan pinggir bandar.
“Ada ketikanya banyak dan kalau ada rezeki lebih, saya beli untuk tambahkan lagi makanan itu," jelasnya.

Mohammad Arvin berharap usahanya itu dapat diteruskan walaupun bakal berdepan kekangan kewangan mulai bulan depan.
Impian utamanya ialah membuka satu taman khas untuk menempatkan semua kucing dipelihara mereka ketika ini.
"Saya juga mengalu-alukan jika ada yang mahu ambil kucing ini sebagai 'anak angkat' sebab saya pun risau juga, takut selepas ini saya tidak mampu nak jaga semua kucing ini dengan baik," katanya.
