Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mengapa tukar pendakwa terbaik SPRM? - Pejuang tuntut penjelasan AG
Diterbitkan:  Feb 25, 2026 10:35 AM
Dikemaskini: 2:44 AM

Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Muhammad Rafique Rashid Ali mendesak Peguam Negara supaya memberikan penjelasan berhubung pertukaran mengejut pendakwa raya kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Wan Shaharuddin Wan Ladin.

Rafique mempersoalkan keperluan tindakan tersebut pada ketika integriti SPRM serta Ketua Pesuruhjaya Azam Baki sedang dipersoal dan berada pada tahap yang menurutnya sebagai paling rendah di mata rakyat.

Muhammad Rafique Rashid Ali

“Datuk Wan Shaharuddin terbukti mempunyai pengalaman luas dalam pendakwaan. Beliau juga mengetuai kes pendakwaan berprofil tinggi dan dihormati oleh rakan dan lawan.

“Kecekapan dan kemahiran beliau menangani pelbagai pendakwaan rasuah di mahkamah saya percaya second to none.

“Yang Arif Peguam Negara perlu beri penjelasan tentang perkara ini. Bahagian Perbicaraan dan Rayuan Jabatan Peguam Negara sudah ada ramai pegawai di situ. Pada saya ia surplus to requirement,” katanya menerusi satu kenyataan di media sosial.

Jawatan terapung

Menerusi pekeliling bertarikh 24 Februari, Wan Shaharuddin yang kini Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM akan memegang jawatan Timbalan Ketua II Bahagian Perbicaraan dan Rayuan secara jawatan terapung di Jabatan Peguam Negara Malaysia (AGC).

Mengulas lanjut, Rafique berkata, walaupun pertukaran jawatan adalah di bawah budi bicara Peguam Negara, namun SPRM memerlukan pegawai yang kredibel untuk mengekalkan kepercayaan awam terhadap suruhajaya antirasuah tersebut.

“Pada masa ini SPRM perlu pada pegawai-pegawai yang komited pada rule of law serta kedaulatan undang-undang.

“Ya budi bicara pada Peguam Negara tentang pertukaran namun SPRM perlu ada pegawai yang kredibel supaya rakyat boleh kekal percaya pada agensi ini.

“Penukaran sebegini rupa perlu penjelasan!” katanya.

Rekod cemerlang

Lim Guan Eng

Nama Wan Shaharuddin bukan asing dalam arena perundangan negara, memandangkan dia adalah figura utama yang mengemudi pelbagai kes pendakwaan berimpak tinggi membabitkan elit politik tanah air.

Antara portfolio besarnya termasuklah mengendalikan kes rasuah projek terowong dasar laut Pulau Pinang yang membabitkan bekas Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Selain itu, dia turut menggalas tanggungjawab sebagai ketua pendakwa dalam kes salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berjumlah ratusan juta ringgit yang dihadapi bekas Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin terkait dana program Jana Wibawa.

Muhyiddin Yassin

Rekod cemerlangnya diteruskan lagi sebagai pendakwa raya utama dalam kes Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. Dalam kes Ahli Parlimen Muar itu, pihak pendakwaan kini sedang merayu di Mahkamah Persekutuan untuk mengekalkan sabitan hukuman penjara, denda, serta sebatan yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi sebelum ini.

Dia juga adalah individu yang berjaya mendapatkan sabitan salah terhadap bekas menteri Sabah, Peter Anthony dalam kes tuntutan palsu tahun lalu.

Terbaru, pada 22 Januari, Wan Shaharuddin memimpin pasukan pendakwaan bagi kes melibatkan bekas Panglima Angkatan Tentera, Hafizuddeain Jantan yang didakwa atas pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram mencecah RM2.1 juta.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS