Syahir Sulaiman, pegawai kanan Presiden PAS Abdul Hadi Awang, menasihatkan Ketua Penerangan Bersatu Tun Faisal Ismail Aziz supaya "berpuasa" daripada mengeluarkan kenyataan terbuka yang boleh mengeruhkan keadaan berhubung isu dalaman Perikatan Nasional (PN).
Syahir yang juga anggota parlimen Bachok berkata perkara berkaitan kedudukan jawatan dan organisasi dalam blok pembangkang seharusnya diselesaikan melalui saluran dalaman, bukan melalui media.
“Hal dalaman, ikut saluran dalaman, bukan serangan terbuka," kata setiausaha politik Hadi itu.
Terdahulu, Tun Faisal berkata anggota parlimen Bersatu yang dipecat perlu dipindahkan segera ke blok bebas Dewan Rakyat dan dilucutkan jawatan kuota pembangkang.
Katanya, PN perlu mengambil serius kelewatan pemindahan itu kerana ia melibatkan kredibiliti struktur pembangkang dan disiplin institusi parlimen.
Jelasnya, prinsip dalam tindakan itu adalah jelas yang mana apabila seseorang anggota parlimen dipecat daripada parti, hubungan keahlian dengan parti tersebut terputus serta-merta.
Dia merujuk kepada kedudukan anggota parlimen Larut, Hamzah Zainudin pada yang masih menyandang jawatan ketua pembangkang walaupun sudah dipecat daripada Bersatu.
Menulis di media sosial sebentar tadi, Syahir berkata, tumpuan blok pembangkang di Parlimen pada masa ini sepatutnya diberikan kepada pelbagai isu nasional yang mendesak, termasuk perjanjian tarif, laporan audit, belanjawan tambahan, dan pembaharuan undang-undang.
"Melihat kepada apa yang ada di atas meja, maka hal-hal yang melibatkan berebut jawatan dan kerusi, tidak menjadi keutamaan kami.
"Lebih baik Penerangan tumpu isu rakyat, perkemas jentera media sosial (bukan ceplos), serang PH/Madani; bukan serang kawan sendiri," katanya.
Perbincangan ketua pembangkang
Mengulas lanjut, Syahir memaklumkan bahawa Pengerusi PN Muhyiddin Yassin telah menghubungi Abdul Hadi melalui telefon semalam bagi membincangkan kedudukan ketua pembangkang.
"Ini teladan yang baik. Kita bincang elok-elok. Difahamkan TGHH (Abdul Hadi) jawab, beliau tidak boleh buat keputusan sendiri, dan akan bawa perkara ini untuk diputuskan dalam mesyuarat terdekat," katanya lagi.
Syahir turut mengingatkan bahawa pandangan anggota parlimen pembangkang perlu diambil kira selaras dengan Peraturan Mesyuarat 4A(3).
Dia menegaskan bahawa PAS tidak pernah membuat sebarang desakan berhubung pertukaran kedudukan pengerusi PN yang baru mahupun yang lama.
"Melainkan jika Bersatu inginkan jawatan ketua pembangkang atau ketua whip, itupun kita boleh bincang, tiada masalah.
“Kita bincang molek, ambil kira pandangan ahli parlimen dan pendirian parti; bukan serang secara terbuka," katanya.
Sidang Dewan Rakyat kini hanya berbaki empat hari lagi dan Syahir menegaskan tumpuan mereka kekal kepada perbahasan isu rakyat dan nasional.
