Bersatu hari ini melantik naib presiden parti itu, Radzi Jidin sebagai Ketua Badan Pimpinan Negeri Melaka yang baharu berkuat kuasa serta-merta, bagi menggalas misi menyusun semula parti itu di negeri berkenaan.
Setiausaha Agung Bersatu, Mohamed Azmin Ali berkata pelantikan itu telah dipersetujui oleh presiden parti, Muhyiddin Yassin bagi menggantikan Abdul Rahim Thamby Chik yang meletakan jawatan itu semalam.

Menurut Azmin, Radzi mempunyai pengalaman dan kredibiliti yang mampu membina semula kekuatan dalam kalangan pemimpin baharu yang komited kepada idealisme perjuangan Bersatu.
"Tugas utama beliau ialah untuk menyusun semula struktur kepimpinan bahagian-bahagian di Melaka dalam kalangan pemimpin tempatan termasuk anak muda dan golongan profesional dalam masa terdekat.
"Pasukan kepimpinan yang baru diyakini akan meneruskan perjuangan rakyat dan menjana kekuatan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijangka pada hujung tahun ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
'Hilang kepercayaan'
Langkah drastik pelantikan pemimpin dari pusat itu diambil selepas Bersatu Melaka dilanda badai besar apabila lima bahagian utamanya iaitu Masjid Tanah, Hang Tuah Jaya, Tangga Batu, Alor Gajah dan Jasin dibubarkan serta-merta, semalam.
Tindakan itu diketuai Abdul Rahim yang mendakwa hilang kepercayaan terhadap kepimpinan tertinggi parti.

Menurut bekas ketua menteri Melaka itu, keputusan sebulat suara mereka berpunca daripada kegagalan Muhyiddin serta kepimpinan pusat dalam menangani krisis dalaman parti secara tuntas selain gagal menyusun strategi politik yang meyakinkan.
Radzi pernah menggalas tugas sebagai Menteri Kanan Pendidikan dan Menteri Ekonomi.
Dia mencetuskan kejutan besar dalam PRU15 apabila menumbangkan penyandang lama, Tengku Adnan Tengku Mansor di Putrajaya dengan majoriti 2,310 undi.
Krisis Bersatu berterusan
Awal minggu lalu, Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin turut mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ketua Bahagian Bersatu Masjid Tanah, yang kemudiannya diikuti oleh barisan kepimpinan kanan yang lain.

Krisis berterusan dalam Bersatu ini menyusul selepas pemecatan bekas timbalan presiden, Hamzah Zainudin, bersama 16 individu lain pada 13 Februari lalu.
Antara yang dipecat termasuk ahli majlis pimpinan tertinggi Bersatu, Zulkifli Bujang, ahli parlimen Fathul Huzir Ayob (Gerik), Azahari Hassan (Padang Rengas), ketua pembangkang Melaka Dr Yadzil Yaakub, Adun Sungai Manik Zainol Fadzi Paharudin, setiausaha Bersatu Sabah Yunus Nurdin, serta ketua bahagian Bersatu Larut, Hassundi Hamzah.
Sejak itu, beberapa ahli parlimen dan ketua bahagian Bersatu bertindak meletak jawatan secara sukarela daripada jawatan kepimpinan masing-masing sebagai tanda sokongan kepada Hamzah, selain menyatakan rasa tidak puas hati terhadap perebutan kuasa oleh Muhyiddin.
Muhyiddin juga kehilangan sokongan di Johor apabila 11 bahagian mengisytiharkan pembubaran mereka.

Bagaimanapun, Azmin berkata pembubaran tersebut adalah "tidak mengikut perlembagaan" dan menegaskan bahawa ketua-ketua bahagian tidak boleh membubarkan cawangan parti secara sebelah pihak.
