Kerajaan mengecam sekeras-kerasnya tindakan seorang individu yang memuat naik kandungan memijak al-Quran di platform media sosial, kata jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil.
Fahmi yang juga menteri komunikasi menyifatkan perbuatan itu sebagai biadab, menghina Islam serta mencabar sensitiviti dan keharmonian masyarakat berbilang kaum.
"Saya telah mengarahkan siasatan dan tindakan segera oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya di media sosial.
Menurut Fahmi, MCMC akan menyelaras bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengambil tindakan yang menyeluruh dan tanpa kompromi berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.
Dia turut menegaskan bahawa sebarang perlakuan yang menyentuh sensitiviti agama dan mengancam ketenteraman awam tidak akan diterima sama sekali.
Sementara itu, menulis di media sosial tengah malam tadi, individu itu memohon maaf dan mengaku membuat kesilapan besar yang tidak menghormati kesucian agama Islam.
Dia menjelaskan bahawa hantaran tersebut dibuat ketika dia sedang dipengaruhi perasaan marah dan dendam.
