Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini membenarkan kes pengubahan wang haram yang dihadapi isteri pengarah Maju Holdings Sdn Bhd, Noor Azrina Mohd Azmi dibicarakan bersama dengan kes pecah amanah dan pengubahan wang haram suaminya, Abu Sahid Mohamed.
Hakim Suzana Hussin memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib.
"Saya benarkan kes ini (Noor Azrina) dibicarakan bersama dengan kes Abu Sahid dan menetapkan sebutan kes pada 6 April untuk serahan dokumen," kata hakim berkenaan.
Terdahulu, Ahmad Akram memaklumkan mahkamah bahawa permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes Noor Azrina ke mahkamah tersebut telah dibenarkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen 8, Rosli Ahmad.
Beliau berhujah bahawa kedua-dua kes tersebut wajar dibicarakan bersama kerana melibatkan transaksi yang sama. Perkara itu tidak dibantah oleh peguam Jasbeer Singh yang mewakili Abu Sahid.
Noor Azrina, 49, menghadapi pertuduhan menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM67.14 juta melalui akaun bank miliknya yang dipindahkan daripada akaun Abu Sahid.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Bukit Tunku antara 6 Mac 2017 dan 27 Nov 2017 mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla).
Sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Abu Sahid, 75, dalam kapasitinya sebagai pengarah Maju Holdings Sdn Bhd, sebelum ini didakwa atas lima pertuduhan menyalahgunakan lebih RM458.5 juta wang milik syarikat yang diamanahkan kepadanya.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di cawangan bank di Taman Tunku dan Taman Serdang Perdana antara 3 Mei 2016 hingga 21 Okt 2019 di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun, sebatan, dan denda.
Selain itu, beliau turut berdepan 10 pertuduhan memindahkan hasil aktiviti haram berjumlah RM116.4 juta daripada akaunnya kepada lima individu dan empat syarikat pembinaan.
Beliau juga didakwa atas tiga lagi pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan pelupusan wang berjumlah RM22.8 juta melalui pengeluaran tunai 15 keping cek antara Mei 2016 hingga September 2018 di bawah akta yang sama.
- Bernama
