Peguam Rajesh Nagarajan dan Sachpreetraj Singh mengecam perobohan kuil Hindu Utchimalai di Rawang Perdana awal hari ini serta mempertikaikan dakwaan bahawa pihak pengurusan kuil mengosongkan tapak tersebut secara sukarela.
“Itu palsu dan tidak masuk akal kerana pengerusi kuil membuat laporan polis semalam untuk mengadu bahawa kuil berkenaan ditekan untuk mengosongkan tanah tanpa sebarang perintah mahkamah,” kata mereka dalam satu kenyataan hari ini.
Mereka mendakwa “operasi tengah malam” tanpa perintah mahkamah itu merupakan pengusiran tempat ibadat secara haram.
Arun Dorasamy pula mendakwa jawatankuasa kuil enggan memindahkan patung tanpa perintah mahkamah, tetapi berdepan tekanan daripada polis yang muncul secara beramai-ramai.
Dia mendakwa polis mula tiba di kawasan tapak terbabit kira-kira jam 10.30 malam dengan jumlahnya melebihi 60 orang menjelang jam 11.20 malam.
“Sepanjang tempoh tersebut, polis dikatakan berulang kali memberi tekanan, memaksa, dan mengugut jawatankuasa kuil untuk memindahkan patung-patung dewa walaupun mereka enggan berbuat demikian tanpa sebarang arahan daripada mahkamah,” katanya dalam kenyataan berasingan.
Arun mendakwa jawatankuasa itu diberitahu bahawa mereka tidak mempunyai pilihan kerana “pihak-pihak tertentu” akan mengambil tindakan jika penempatan semula tidak dilakukan.
“Suasana tekanan yang berterusan” itu, dakwa Arun, akhirnya memaksa jawatankuasa kuil untuk mengambil tindakan.
Malaysiakini telah menghubungi polis Gombak untuk mendapatkan komen.
Minta henti sementara
Kenyataan tersebut dikeluarkan selepas kuil – yang dibina di atas tanah milik Yayasan Kubra – dirobohkan pada awal pagi tadi.
Wakil jawatankuasa kuil telah mengalihkan patung-patung dewa sebelum tarikh akhir pada tengah malam, manakala sukarelawan yang bertindak bagi pihak pemilik tanah kemudian merobohkan binaan tersebut di bawah pengawasan polis.
Sementara itu wakil Yayasan Kubra mendakwa mereka mengambil tindakan tersebut selepas persetujuan dicapai dengan jawatankuasa kuil dan polis.
Pemegang amanah Yayasan Kubra, Ismail Mina, mendakwa persetujuan itu dicapai secara baik dan mendakwa Arun menimbulkan masalah dengan mencampuri isu tersebut.
Kata Ismail Yayasan Kubra sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap Arun kerana didakwa menggambarkan orang Islam sebagai negatif.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Shazeli Kahar, berkata kerja-kerja dijalankan dari 11.30 malam tadi hingga 4.12 pagi dengan pemindahan keempat-empat patung di tapak tersebut dilakukan oleh 10 wakil jawatankuasa kuil dan penganut Hindu.
Shazeli berkata tiada kejadian tidak diingini berlaku semasa proses tersebut.
“Polis mengingatkan semua pihak untuk terus menghormati saluran perundangan sedia ada dan menahan diri daripada mengambil tindakan sendiri, yang boleh mengancam keharmonian antara kaum dan agama.
“Sebarang pertikaian harus diselesaikan melalui prosedur yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan dan pemilik tanah yang sah,” katanya dalam satu kenyataan awal hari ini.
Bagaimanapun, Rajesh, Sachpreetraj dan Arun mendakwa dalam kenyataan masing-masing bahawa jika Yayasan Kubra berhak secara sah ke atas tanah tersebut, tindakan yang sewajarnya ialah untuk mendapatkan perintah mahkamah dan menguatkuasakannya.

“Mengambil tindakan sendiri – terutamanya dengan cara yang kelihatan diselaraskan dengan jentera negeri –menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap proses yang sewajarnya,” kata Rajesh dan Sachpreetraj dalam kenyataan bersama mereka.
Penglibatan polis dalam perobohan itu, tambah peguam terbabit, menimbulkan kebimbangan serius jika pihak berkuasa telah melampaui mandat mereka dalam perkara itu.
Mereka menekankan bahawa polis tidak sepatutnya campur tangan dalam pertikaian pihak persendirian kerana ‘pakatan sulit’ mereka boleh memberikan sokongan institusi terhadap matlamat pihak swasta.
“Kerajaan kini mesti menjawab dan menjelaskan kepada orang ramai mengapa jawatankuasa kuil terpaksa memindahkan patung-patung itu pada tengah malam di hadapan pasukan polis,” kata mereka.
Arun yang merupakan Pengerusi Pasukan Bertindak Pemeliharaan Kuil turut membangkitkan kebimbangan mengenai sikap pihak berkuasa.
Dia menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk menghentikan sementara sebarang perobohan kuil sehingga ada mekanisme ditetapkan untuk menangani isu yang telah lama berlarutan.
“Kegagalan untuk mengambil langkah segera dalam perkara ini berisiko mewujudkan situasi yang tidak terkawal dan membahayakan keharmonian, keamanan dan kedaulatan undang-undang negara,” katanya.
