KOMENTAR | Permainan Manchester United di bawah kendalian Michael Carrick sangat-sangat menarik. Ketajaman Carrick terbukti apabila kelab itu berjaya memenangi lima daripada enam perlawanan yang diharungi mereka.
Satu lagi perlawanan berakhir dengan seri.
Ia membolehkan Man U mengumpul 48 mata dan menduduki tangga keempat liga dengan berbaki 11 perlawanan lagi. Mereka dipisahkan dengan tiga mata daripada Chelsea yang menghuni tempat kelima, serta Liverpool di tangga keenam.
Dengan perkembangan terkini Man U dilihat mampu mengejar Aston Villa yang menghuni tangga ketiga dengan 51, tetapi sedikit sukar untuk mengejar Manchester City ditangga kedua dengan 56 mata.
Pun begitu tidak mustahil bagi Man U untuk berada di kedudukan kedua liga kerana jarak yang membezakan hanyalah lapan mata.
Dari aspek matematik Man U masih berpeluang untuk mengejar persada liga walaupun kelab itu ketinggalan 13 mata dengan pendulu, Arsenal. Berbaki 11 perlawanan, Man U boleh mengumpul 33 mata dengan andaian mereka memenangi semuanya.
Tetapi City dan Arsenal juga bukanlah tunggul apabila mengharungi perlawanan mendatang.
Mata mereka mungkin berganjak juga kerana City turut berpeluang untuk memintas Arsenal jika The Gunners ‘tersedak’ pada dua atau tiga perlawanan seperti musim-musim lalu.
Percaturan bijak tukar pemain
Nampaknya Carrick memberi rasa gentar kepada tiga pasukan teratas kerana sejak menggalas tugas di Old Trafford, Carrick tampil meyakinkan.
Kedatangan bekas pemain Man U itu juga menjadikan kelab berkenaan memegang rekod serangan ketiga terbaik liga.
Selepas seri 1-1 dengan West Ham, Man U kembali menang 1-0 mengalahkan Everton di tempat lawan hasil jaringan penting Benjamin Sessko.
Para pemain juga kelihatan memiliki semangat padu semasa menentang Everton semalam.
Serangan bertali arus daripada pemain Everton selalu tersekat sebelum sampai ke kawasan berbahaya kerana Man U bermain dengan begitu baik. Gerakan penyerang Everton juga tidak menjadi dan sangat buntu.
Carrick pandai mencatur apabila mengubah corak perlawanan daripada berpotensi kalah atau seri menjadi kemenangan. Ia dicapai melalui pertukaran pemain – seperti yang dilakukan Sesko semalam.

Pendekatan itu jelas berbeza dengan Ruben Amorim apabila sepanjang 47 perlawanan yang dikendalikannya hanya dua pemain gantian berupaya menjaringkan gol.
Amorim Cuma membawa masuk banyak pemain baru tetapi tumpul untuk memanfaatkan mereka berbanding Carrick. Di bawah Carrick, pemain seperti Matheus Cunha, Bryan Mbeumo dan Sesko kelihatan sangat menyerlah.
Harry McGuire yang sering menjadi bahan jenaka sebelum ini juga sudah menunjukkan peningkatan yang cemerlang. Begitu juga dengan aksi Amad Diallo yang lebih tajam dan mengancam.
Dia kini ada pertimbangan yang lebih baik dan lebih bijak apabila tidak lagi ‘tamak’ mahu memahat nama sebagai penjaring gol.
Langit nampak cerah
Senne Lammens sebelum kedatangan Carrick dijenakakan sebagai bayangan Andre Onana. Tetapi kini dia adalah penjaga gawang yang mantap dan mungkin percaturan terbaik buat Man U sekarang.
Lammens banyak menyelamatkan maruah Man U daripada dirobek Everton.
Dengan 11 perlawanan yang berbaki untuk musim ini, Man U boleh menebus maruahnya yang sempat tercalar teruk sebelum Carrick datang. Cuma kedudukan kelab lain di bawah perlu diambil kira.
Mereka bukan tunggul kayu atau anak patung Barbie yang tidak ada sebarang keinginan. Chelsea dan Liverpool tetap menjadi ancaman utama.
Apapun langit kelihantan cerah untuk Man U.

Jika Carrick kekal di Old Trafford, kita mungkin melihat Man U yang lebih bahaya dan konsisten pada musim depan.
Dia juga nampaknya membawa DNA Man U semasa era Alex Fergusson – kemas, padu dan tanpa belas kasihan pada lawan.
Ia secara tidak langsung akan membuat Liam Rosenior, Unai Emery, Mikel Arteta, Pep Guiordola dan Arne Slot kepanasan.
SHAHRAY ZULKIFLI ialah bekas peguam di Brunei Darussalam sebelum bersara pada hujung 2023. Dia kini menjadi penulis dan penceramah bebas dalam bidang undang-undang keluarga Islam.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
