Telekom Malaysia Bhd (TM) berhasrat untuk menamatkan perjanjian akses borong 5G sedia ada dengan Digital Nasional Bhd (DNB) dan beralih kepada rangkaian mudah alih baharu, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Amar Huzaimi Md Deris.
Beliau berkata rangkaian mudah alih itu dijangka dilaksanakan dalam tempoh beberapa bulan akan datang secara lancar tanpa gangguan perkhidmatan.
Keputusan itu dibuat selaras dengan pendekatan dwi rangkaian oleh kerajaan, yang membolehkan TM menilai pilihan untuk menyokong strategi daya saing dan penumpuan jangka masa panjang TM secara terbaik, katanya.
“Usaha itu dilakukan mengikut opsyen undang-udang yang diberikan kepada kami…ketika Malaysia beralih kepada dwi rangkaian seperti yang disebut kerajaan.
“Ini memberi pilihan kepada TM untuk menilai perkara paling sesuai untuk nilai daya saing jangka masa panjang dan penawaran penumpuan kami,” katanya pada taklimat media di Kuala Lumpur, hari ini.
TM sebelum ini mengumumkan pihaknya akan memeterai perjanjian borong Rangkaian Teras Pelbagai Operator (MOCN) 5G baharu dengan U Mobile bagi memperkukuh daya saing mudah alih dan menyokong aspirasi penumpuannya.
Usaha itu juga bagi menggunakan hak kontraktual untuk menamatkan perjanjian akses sedia ada dengan DNB tertakluk kepada keperluan kawal selia.
Amar Huzaimi berkata penamatan perjanjian dengan DNB itu tidak akan membawa sebarang penalti yang diketahui terhadap TM kerana langkah tersebut dibuat berdasarkan peruntukan kontrak yang tersedia kepada TM.
Sementara itu, ketika ditanya sama ada TM akan mempertimbangkan untuk mengambil alih U Mobile, beliau enggan mengulas dan menyifatkan perkara itu sebagai strategik serta sensitif kepada pasaran.
Sebarang perkembangan penting akan tertakluk kepada proses yang ditetapkan dan diumumkan sewajarnya, katanya.
Beliau berkata dalam melangkah maju, TM memberikan unjuran positif bagi 2026, disokong momentum pertumbuhan perolehan yang berterusan serta pengukuhan keuntungan asas ketika pihaknya melangkah menuju ke arah aspirasi “Digital Powerhouse” 2030.
“Kami menjangkakan perolehan mencatatkan peningkatan satu digit rendah bagi tahun ini, manakala keuntungan sebelum faedah dan cukai (EBIT) diunjurkan kekal pada paras yang hampir sama seperti 2025 secara kesekuruhannya, mencerminkan prestasi operasi yang stabil merentas segmen perniagaan.
“Keamatan perbelanjaan modal diunjurkan meningkat kepada antara 18 peratus hingga 20 peratus daripada perolehan, lebih tinggi daripada sebelum ini, memandangkan kami mempercepat pelaburan untuk menyokong inisiatif pertumbuhan dan peluasan infrastruktur,” katanya.
Beliau berkata TM bercadang memperuntukkan perbelanjaan modal 2026 bagi memperluas rangkaian jalur lebar, pelaksanaan gentian optik, perkhidmatan awan, perkhidmatan digital, kecerdasan buatan (AI), unit pemprosesan grafik (GPU) serta pusat data, yang melibatkan kombinasi pelaburan baharu kumpulan itu berbanding kemudahan sedia ada pada masa ini.
Mengenai dividen, Amar Huzaimi berkata kumpulan itu menyasarkan untuk mengekalkan rekod prestasi pembayaran, dan turut menekankan bahawa TM telah memberikan dividen secara konsisten selaras dengan prestasinya.
"Seperti yang anda lihat sebelum ini, kami telah memperlihatkan prestasi yang baik dari segi pembayaran dividen. Oleh itu, kami ingin memastikan kami meneruskan trend berkenaan," katanya.
Kumpulan itu mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 14.5 sen sesaham dan dividen khas 4.0 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2025, yang kedua-duanya akan dibayar pada 27 Mac, 2026.
Jumlah dividen bagi tahun kewangan 2025 adalah 31 sen sesaham, sama seperti tahun sebelumnya.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, TM mengumumkan keuntungan bersih susut 15.1 peratus kepada RM1.71 bilion bagi tahun kewangan 2025 daripada RM2.02 bilion pada tahun sebelumnya.
TM menjelaskan keuntungan bersih yang rendah itu adalah berikutan ketiadaan kredit cukai besar sekali sahaja yang diiktiraf pada tahun lepas selain pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBIT) yang menyusut, namun sebahagiannya diimbangi oleh keuntungan pelaburan kumpulan dalam dana teknologi.
Bagaimanapun, perolehan bagi tahun kewangan 2025 menokok 1.4 peratus atau RM159.6 juta kepada RM11.87 bilion daripada RM11.71 bilion sebelumnya walaupun persekitaran operasi yang mencabar dalam sektor telekomunikasi.
Bagi suku keempat tahun kewangan 2025, keuntungan bersih TM merosot kepada RM222.49 juta daripada RM730.63 juta tahun sebelumnya manakala perolehan meningkat 6.8 peratus kepada RM3.26 bilion berbanding RM3.05 bilion sebelum ini.
- Bernama
