Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
CIJ kecam tindakan saman Bestinet terhadap media
Diterbitkan:  Feb 25, 2026 9:27 PM
Dikemaskini: 1:27 PM

Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) mengecam tindakan saman berbilion ringgit yang difailkan Bestinet Sdn Bhd terhadap pelbagai organisasi media dan individu, termasuk Malaysiakini.

Dalam satu kenyataan hari ini, Pengarah Eksekutif CIJ Wathshlah Naidu (gambar atas) berkata tindakan saman itu adalah cubaan untuk menyekat penelitian awam.

Malah, dia berkata saman tersebut mempunyai unsur jelas Tuntutan Strategik Terhadap Penyertaan Awam (SLAPP) yang bertujuan membungkam wartawan dan pengamal media daripada menjalankan tanggungjawab sewajarnya dalam melaporkan perkara berkepentingan awam.

“Tindakan terhadap media sebagai tonggak keempat demokrasi ini berfungsi untuk menakut-nakutkan serta mewujudkan persekitaran yang menggerunkan terhadap pelaporan isu kepentingan awam.

“SLAPP, seperti kes ini, bertujuan membebankan organisasi media dengan kos guaman yang melampau serta prosedur yang boleh memberi kesan menakutkan terhadap kewartawanan penyiasatan dan menyekat penelitian awam.

“Akhirnya, walaupun tuntutan asas mungkin tidak berjaya di mahkamah, ancaman tindakan sedemikian sahaja boleh mendorong penapisan undang-undang dan penapisan kendiri dalam kalangan mereka yang menjalankan tanggungjawab sivil untuk melaporkan perkara berkepentingan awam, yang bercanggah dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan bersuara dan seterusnya kebebasan media,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Wathshlah berkata SLAPP, seperti kes ini hanya bertujuan membebankan organisasi media dengan kos guaman yang melampau serta prosedur yang boleh memberi kesan menakutkan terhadap kewartawanan penyiasatan dan menyekat penelitian awam.

“Akhirnya, walaupun tuntutan asas mungkin tidak berjaya di mahkamah, ancaman tindakan sedemikian sahaja boleh mendorong penapisan undang-undang dan penapisan kendiri dalam kalangan mereka yang menjalankan tanggungjawab sivil untuk melaporkan perkara berkepentingan awam, yang bercanggah dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan bersuara dan seterusnya kebebasan media,” katanya.

Semalam Bestinet Sdn Bhd dan pengasasnya, Aminul Islam Abdul Nor dilaporkan menyaman sepuluh media dan individu, termasuk Malaysiakini, dengan tuntutan ganti rugi melebihi RM1 bilion.

Ini berkaitan laporan Bloomberg bertajuk “Everyone gets a cut, and migrant workers pay the price” yang diterbitkan pada 23 Jan serta laporan-laporan berikutnya yang mengulang dakwaan sama dan mengulas isu itu.

Dalam pernyataan tuntutan mereka, Bestinet dan Aminul mendakwa kenyataan itu menggambarkan mereka terlibat dalam pemerdagangan manusia, pengubahan wang haram, amalan rasuah, menafikan akses Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) kepada kerajaan, dan memperkayakan diri mereka atas penderitaan imigran yang terdedah.

Malaysiakini dinamakan sebagai defendan kelima dalam saman itu, manakala pejabat Bloomberg di New York dan Kuala Lumpur masing-masing dinamakan sebagai defendan pertama dan kedua.

Defendan lain ialah The Edge Communications Sdn Bhd (penerbit The Edge), MNow Media Sdn Bhd (penerbit MalaysiaNow), Norhafizan Muhamad dan Nur Azwan Nusi (pemilik perkongsian yang mengendalikan Harapan Daily), bekas ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya, bekas menteri ekonomi Rafizi Ramli, dan pempengaruh Iswardy Morni yang mengendalikan saluran Youtube “YB Youtube Channel”.

Plaintif menuntut RM500 juta ganti rugi khas daripada setiap satu daripada dua entiti Bloomberg, dan RM5 juta daripada setiap satu daripada lapan defendan lain.

Mereka juga menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan yang ditentukan mahkamah, faedah lima peratus setahun ke atas semua ganti rugi, permohonan maaf bertulis, serta menarik balik artikel yang menyinggung.

Selain itu, plaintif memohon injunksi ex-parte terhadap defendan untuk menghalang mereka daripada terus menyebarkan kenyataan yang didakwa fitnah sehingga kes ini selesai, dengan alasan kenyataan itu mungkin akan diulang dan akan merosakkan reputasi mereka.

Bagaimanapun, permohonan injunksi ditolak oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Roslan Mat Nor, tanpa kos.

Dalam penghakiman bertulisnya bertarikh Jumaat lalu, hakim menyatakan kenyataan yang didakwa fitnah itu berkaitan isu kepentingan awam, iaitu pengambilan pekerja migran ke Malaysia.

Jelas Wathshlah meskipun pihaknya menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan injunksi Bestinet untuk mengenakan perintah larangan bersuara terhadap media, namun dia tetap menggesa semua pihak berkuasa agar mematuhi piawaian antarabangsa dengan memastikan sebarang sekatan terhadap kebebasan bersuara dibuat hanya dengan bukti jelas mengenai kemudaratan dan demi kepentingan awam.

Tambahnya, CIJ juga turut menggesa agar semua rungutan dan aduan terhadap media disalurkan kepada Majlis Media Malaysia.

“Jika Bestinet Sdn Bhd berpendapat bahawa laporan oleh organisasi media adalah tidak tepat atau tidak beretika, proses melalui Majlis Media boleh menjadi lebih cepat dan kurang bersifat konfrontasi berbanding saman RM1 bilion. Ia juga akan menunjukkan bahawa syarikat tersebut memberi tumpuan kepada pembetulan rekod dan bukannya menghukum pihak media.

“Dalam sebuah masyarakat progresif, litigasi strategik seharusnya menjadi pilihan terakhir, khususnya dengan kewujudan institusi yang berperanan sebagai pengantara antara orang awam dan media. Sifat pelbagai pemegang taruhnya membolehkan keputusan berkaitan media dibuat selaras dengan prinsip masyarakat demokratik dan pendekatan perundingan.

“Kami berharap dapat melihat pendekatan menyeluruh melibatkan seluruh masyarakat dalam mempertahankan wartawan dan pengamal media dalam melaksanakan peranan mereka melaporkan perkara berkepentingan awam sebagai lanjutan kepada usaha mempertahankan kebebasan bersuara di Malaysia,” tambahnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS