Memandangkan Dewan Undangan Negeri Melaka dijadualkan dibubarkan dalam tempoh 10 bulan akan datang, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke sedang menunggu dua keputusan penting daripada Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk memuktamadkan strategi pilihan raya.
Keputusan yang pertama berkaitan sama ada pilihan raya umum dan negeri perlu diadakan serentak atau tidak. Sementara yang kedua ialah sama ada untuk bertanding di bawah rangka kerja gabungan kerajaan Madani yang sedia ada atau sebaliknya.
Bercakap kepada Malaysiakini pada hari Isnin, Loke menyatakan bahawa hanya perdana menteri mempunyai kuasa untuk menasihati Agong untuk membubarkan Parlimen, dan hanya dia yang boleh menyelaras sama ada rakan gabungan akan meneruskan kerjasama.
Justeru, Loke berkata Anwar mesti membuat keputusan politik yang muktamad.
"Tarikh-rarikh pilhan raya, pembubaran dewan undangan negeri akan berlangsung ataupun berlaku dalam masa yang jarak tidak jauh. Dalam masa beberapa bulan," kata Loke.
"Jadi pertimbangan yang perlu diputuskan oleh perdana menteri ialah sama ada kita nak meneruskan model kerjasama kerajaan Madani, kerajaan perpaduan ni untuk pilihan raya seterusnya.
"Sekiranya begitu, sudah tentu perdana menteri perlu mengambil langkah dan membuat keputusan untuk menyelaraskan plihan raya secara serentak sama ada pilihan raya umum di peringkat pusat atau di peringkat negeri secara serentak," tambahnya.
Madani atau bebas tanding sebarang kerusi?
Loke menambah bahawa keputusan juga diperlukan mengenai sifat kerjasama mereka.
"Perlu diputuskan ialah apa bentuk kerjasama kita? Sama ada kita memasuki pilihan raya secara kerjasama - itu ada pengagihan kerusi antara parlimen dan dewan undangan negeri yang lebih tersusun - Ataupun free-for-all (bebas tanding mana-mana kerusi)?
"Apa cara sekalipun, saya rasa perlu ada satu keputusan,” kata Menteri Pengangkutan itu.

Dia berhujah bahawa adalah tidak logik bagi parti-parti dalam kerajaan Madani untuk mentadbir bersama di peringkat persekutuan tetapi pada masa sama bersaing sesama sendiri di peringkat negeri.
"Itu saya rasa tak masuk akal. Kalau sudah tak bekerjasama, nak lawan sekali, biarlah serentak kita lawan sekali. Ataupun bekerjasama sekali," tambahnya.
Dalam hal ini, Loke menekankan bahawa Pakatan Harapan (PH) juga mesti mencapai keputusan yang jelas secepat mungkin.
"PH tidak boleh samar-samar. Kita mesti membuat keputusan - ia mesti dengan satu cara atau yang lain. Jika kita memilih untuk bekerjasama, maka berjuanglah sebagai satu barisan yang bersatu; jika tidak, maka biarlah free-for-all," katanya.
'PKR juga mungkin tak dapat terima'
Pada September tahun lepas, Loke secara terbuka mencadangkan untuk mengadakan pilihan raya persekutuan dan negeri serentak, terutamanya di Semenanjung Malaysia, untuk memastikan penyelarasan yang lebih baik dalam persediaan parti dan untuk mengurangkan kos.
Pendiriannya tidak berubah.
Semasa temu bual itu, dia berkata bahawa jika pilihan raya persekutuan dan negeri tidak diadakan serentak, mungkin terdapat sekurang-kurangnya lima pusingan pilihan raya dalam satu atau dua tahun akan datang - termasuk di Melaka, Johor, Sarawak, pilihan raya kebangsaan, dan enam pilihan raya negeri.

Kalendar pilihan raya yang padat sebegini, katanya, akan mengganggu pentadbiran negara dan menghalang keupayaan kerajaan untuk melaksanakan dasar dengan berkesan.
Dari perspektif strategi, Ahli Parlimen Seremban itu menambah bahawa pilihan raya berasingan akan menimbulkan cabaran dan kekangan yang lebih besar.
Contohnya, dia berkata jika pilihan raya diadakan secara berasingan sambil mengekalkan model gabungan Madani, PKR mungkin tidak dapat bertanding dalam pilihan raya negeri Melaka yang akan datang dan mungkin dihadkan kepada hanya satu kerusi di Johor.
"Mungkin PKR juga tidak akan menerimanya kerana ia tidak mempunyai banyak kerusi di Johor dan Melaka. Jika hanya pilihan raya negeri diadakan, pada dasarnya PKR mungkin tidak dapat bertanding.
"Tetapi jika pilihan raya persekutuan dan negeri diadakan serentak, boleh ada pakej perjanjian, dan akan lebih mudah bagi semua orang untuk berunding tentang peruntukan kerusi," katanya.
Loke juga menggariskan senario lain - jika pilihan raya persekutuan dan negeri diadakan secara berasingan dan parti-parti memilih untuk bebas bertanding sebarang kerusi, ahli-ahli kerajaan perpaduan sedia ada pasti akan bertembung antara satu sama lain dalam pilihan raya negeri.
"Itu pasti akan menjejaskan kerjasama dalam kerajaan. Kita melihat bagaimana kerajaan Perikatan Nasional (PN) runtuh dengan cara ini - mereka mentadbir bersama di peringkat persekutuan, tetapi bergaduh antara satu sama lain di Melaka, Johor dan Sabah. Jadi bagaimana anda boleh terus bekerjasama di peringkat persekutuan?"
Di bawah penggal semasa, DUN Melaka akan tamat tempoh pada Disember tahun ini, manakala DUN di Sarawak, Johor dan enam negeri, iaitu Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Negeri Sembilan, masing-masing akan tamat tempoh pada Februari 2027, April 2027 dan Ogos 2028.
Sementara itu, Parlimen dijadualkan tamat tempoh pada Disember 2027.
