Sesi persekolahan bagi lima buah sekolah di daerah Kulai terpaksa dihentikan sementara dan ditukarkan kepada sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) susulan kebakaran sebuah kilang memproses getah di kawasan perindustrian Sengkang, dekat Kulai sejak Selasa lalu.
Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching memaklumkan tiga lagi sekolah diarahkan tutup berkuat kuasa semalam iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Kota Kulai, SK Taman Kota Kulai 2, dan Sekolah Agama Taman Kota Kulai.

Langkah itu menjadikan keseluruhan lima institusi pendidikan terjejas setakat ini selepas Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sengkang dan SJKC Kulai Besar terlebih dahulu diarahkan tutup kelmarin.
Menurut Teo, keputusan itu dibuat bagi mengelakkan risiko kesihatan terhadap warga sekolah memandangkan asap dan bau pembakaran masih dikesan di kawasan sekitar.
"Berdasarkan maklumat terkini setakat awal pagi ini, masih terdapat api yang dikesan aktif dan pihak bomba sedang giat melaksanakan operasi pemadaman," katanya melalui hantaran di Facebook, hari ini.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin memaklumkan penutupan SJKC Sengkang dan SJKC Kulai Besar melibatkan 1,531 murid.

Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kulai mengesahkan kesemua murid di sekolah yang terlibat akan menjalani sesi PdPR sehingga Jumaat ini bagi memastikan kelangsungan pembelajaran dalam keadaan selamat.
Operasi pemadaman capai 90 peratus
Dalam pada itu, Bernama melaporkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memaklumkan bahawa operasi pemadaman stor plastik jenis separuh kekal berukuran 91 meter x 152 meter itu kini mencapai tahap 90 peratus.
Operasi yang melibatkan 34 anggota itu turut menerima bantuan bekalan 20 tong buih (foam) daripada pihak industri, manakala 30 tong tambahan digerakkan dari negeri berhampiran bagi menyokong operasi pemadaman.
"Kerja-kerja pemunggahan menggunakan empat unit jengkaut sedang dilaksanakan bagi memudahkan pemadaman di bahagian bawah timbunan bahan.

"Unit Dron JBPM Johor turut melakukan pemantauan imej termal bagi mengesan punca haba yang berisiko mencetuskan kebakaran semula," menurut kenyataan bomba.
Kebakaran tersebut dilaporkan bermula pada jam 4.37 petang Selasa lalu dan usaha memadamkan saki-baki api masih diteruskan bagi memastikan kawasan benar-benar selamat daripada ancaman asap toksik.
