Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mungkin AG mahu saya berubah angin- Wan Shaharuddin

Pengarah Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Wan Shaharuddin Wan Ladin menyifatkan Peguam Negara (AG) Mohd Dusuki Mokhtar mahu dia "berubah angin" susulan pertukarannya ke jawatan baru.

Menyifatkan perkara itu sebagai lumrah bagi penjawat awam, Wan Shaharuddin menegaskan pertukarannya kepada timbalan ketua bahagian perbicaraan dan rayuan II, Bahagian Perbicaraan dan Rayuan, Jabatan Peguam Negara (AGC) bukanlah bermakna turun pangkat.

"SPRM di hati saya, (tapi) lumrah manusia, lumrah (pegawai) kerajaan, saya turun pangkat? Tak, tapi jawatan berbeza. 

"Seperti Tan Sri AG bagi penjelasan ini adalah proses biasa kita akan bertukar-tukar, saya di sini (SPRM) hampir tujuh tahun, mungkin nak suruh saya tukar angin pula.

"Niat AG baik, murni, dia bukan laksanakan (pertukaran) untuk saya sahaja, tapi untuk semua orang (kakitangan) lain juga," katanya ketika bersiaran di Zoom In Maccfm pagi ini.

Mohd Dusuki Mokhtar

Semalam Parti Pejuang Tanah Air mendesak peguam negara supaya menjelaskan “pertukaran mengejut” Wan Shaharuddin, sebagai pendakwa raya kanan SPRM.

Ketua penerangannya Rafique Rashid mempersoalkan tindakan itu ketika integriti SPRM serta ketua pesuruhjaya Azam Baki didakwa berada pada tahap yang paling rendah”.

“Bahagian Perbicaraan dan Rayuan Jabatan Peguam Negara sudah ada ramai pegawai di situ. Pada saya ia surplus to requirement (melebihi keperluan),” katanya.

Semalam Peguam Negara menegaskan pertukaran Wan Shaharuddin berkuat kuasa pada 2 Mac (hari ini) tidak akan menjejaskan kes dikendalikannya di SPRM.

Mohd Dusuki Mokhtar berkata, Wan Shaharuddin masih berupaya meneruskan tanggungjawab terhadap kes berkepentingan, di samping diberi peluang mengendalikan kes rayuan pada peringkat mahkamah yang lebih tinggi.

Wan Shaharuddin mula berkhidmat di SPRM pada 2019. 

Dia mengendalikan pelbagai kes berprofil tinggi antaranya dakwaan penyelewengan dana Pemuda Bersatu membabitkan anggota parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, kes rasuah terowong dasar laut Pulau Pinang melibatkan bekas ketua menterinya, Lim Guan Eng dan kes salah guna kuasa dan pengubahan wang haram bekas perdana menteri.

Hafizuddeain Jantan

Terbaru, pada 22 Januari, Wan Shaharuddin memimpin pasukan pendakwaan bagi kes melibatkan bekas panglima tentera, Hafizuddeain Jantan yang didakwa atas pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram mencecah RM2.1 juta.

Lebih rela siasat kes bunuh dari rasuah

Sementara itu, ditanya mengenai pengalamannya mengendalikan kes rasuah berbanding kes jenayah bunuh, Wan Shaharuddin menegaskan dia lebih rela mengendalikan kes bunuh.

"Saya rela buat kes bunuh. Dua puluh kes bunuh berbanding kes rasuah, bagi saya kes bunuh mudah sikit berbanding kes rasuah.

"Kes rasuah ni kita nak tidur malam fikir apa saksi nak cakap esok," katanya yang juga anak jati negeri Kelantan itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS