Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Waytha Moorthy kecam remaja muat naik gambar pijak al-Quran
Diterbitkan:  Feb 26, 2026 3:13 PM
Dikemaskini: 7:24 AM

Presiden Parti Kemajuan Malaysia (MAP) P Waytha Moorthy memandang serius insiden tular melibatkan seorang remaja yang memuat naik gambar memijak al-Quran baru-baru ini. 

Dia menyifatkan perbuatan tersebut sebagai tidak beradab, tidak bermoral, dan memerlukan tindakan tegas daripada pihak berkuasa.

Menurut Waytha, tindakan menghina kitab suci mana-mana agama bukan sahaja melukakan hati penganutnya, malah bertentangan dengan nilai kemanusiaan sejagat yang menekankan aspek hormat-menghormati dan kasih sayang.

"MAP dan Hindraf ingin menegaskan bahawa semua agama mengajar umatnya supaya menghormati kepercayaan orang lain dan menjauhi perbuatan yang boleh menimbulkan kebencian atau perpecahan.

"Oleh itu, perbuatan menghina kitab suci al-Quran adalah sesuatu yang harus ditolak oleh seluruh masyarakat," katanya yang juga pemimpin Barisan Bertindak Hak-hak Hindu (Hindraf).

Terdahulu seorang penuntut sebuah universiti tempatan di Pahang direman empat hari bagi membantu siasatan susulan kes muat naik gambar kontroversi itu.

Dia dilapor ditahan selepas bapa suspek membuat laporan polis berkaitan tindakan anaknya yang berusia 21 tahun, selepas mereka datang ke balai untuk memohon maaf.

Kes disiasat bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan atas melukakan perasaan agama, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara hingga setahun dan didenda atau kedua-dua sekali.

Sementara itu, remaja itu juga memohon maaf secara terbuka di media sosial susulan tindakannya itu dan mengakui ia kesilapan besar, tidak beradab dan tidak menghormati kesucian agama Islam.

Dalam kenyataan hari ini, Waytha Moorthy berkata seluruh rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama perlu memahami kepentingan bulan Ramadan kepada umat Islam yang sedang menunaikan ibadah puasa.

Dia menyeru masyarakat agar terus memupuk semangat saling menghormati serta menjaga tutur kata dan tindakan bagi mengekalkan suasana aman dan damai.

"Dengan menghormati agama dan kepercayaan antara satu sama lain, kita dapat terus memperkukuhkan perpaduan dan keharmonian yang menjadi asas kekuatan negara kita," kata bekas menteri perpaduan itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS