Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Parti, NGO Melayu, Islam gesa tindakan tegas pada individu pijak al-Quran
Diterbitkan:  Feb 26, 2026 4:35 PM
Dikemaskini: 8:35 AM

Parti dan NGO berasaskan Melayu dan Islam menggesa tindakan tegas diambil terhadap seorang pelajar di Universiti Malaysia Pahang Al Sultan Abdullah (UMPSA) yang memijak al-Quran baru-baru ini.

Antaranya Ketua Pemuda PAS Selangor Mohamed Sukri Omar yang menggesa agar pelajar berkenaan dibuang universiti serta-merta, selain "disenarai hitam" daripada diterima masuk ke mana-mana universiti lain di negara ini.

Dia berkata apa yang dilakukan individu adalah satu penghinaan secara terbuka terhadap umat Islam.

"Ini bukan salah laku kecil…Al-Quran ialah kalam Allah yang dimuliakan oleh lebih 60 peratus rakyat Malaysia yang beragama Islam. Ia bukan sekadar teks, tetapi asas akidah, syariat dan peradaban. 

"Tindakan memijaknya adalah satu provokasi melampau yang mencabar keharmonian serta menguji ketegasan undang undang negara.

"Malaysia bukan negara yang membenarkan budaya ekstrem atas nama kebebasan tanpa batas. Jika insiden seperti ini tidak ditangani dengan hukuman yang benar-benar tegas, ia akan menjadi duluan berbahaya dan membuka ruang kepada penghinaan agama yang lebih besar pada masa akan datang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamed Sukri Omar

Terdahulu seorang penuntut sebuah universiti tempatan di Pahang direman empat hari bagi membantu siasatan susulan kes muat naik gambar kontroversi itu.

Dia dilapor ditahan selepas bapa suspek membuat laporan polis berkaitan tindakan anaknya yang berusia 21 tahun, selepas mereka datang ke balai untuk memohon maaf.

Sementara itu, remaja itu juga memohon maaf secara terbuka di media sosial susulan tindakannya itu dan mengakui ia kesilapan besar, tidak beradab dan tidak menghormati kesucian agama Islam.

Tindakan remaja itu turut mengundang kecaman kerajaan menerusi jurucakapnya, Fahmi Fadzil yang menyifatkan perbuatan itu sebagai biadab, menghina Islam serta mencabar sensitiviti dan keharmonian masyarakat berbilang kaum.

Fahmi berkata dia telah mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) segera menyiasat dan mengambil tindakan berdasarkan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Hukum sebat, penjara

Sementara itu, Ketua Penerangan Putra Shahrulufti Sharif menggesa agar individu yang menghina Islam dikenakan hukuman secara mandatori.

"Perbuatan ini adalah penghinaan melampau terhadap agama Islam dan tidak boleh dibiarkan sama sekali.  

"Putra menegaskan bahawa kerajaan mesti segera menggubal satu akta khas bagi memastikan hukuman mandatori dikenakan terhadap pesalah.

"Hukuman yang dicadangkan ialah hukuman mandatori 20 sebatan dan penjara seumur hidup sebagai langkah pencegahan dan pengajaran yang keras," katanya dalam kenyataan hari ini.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Ahmad Fahmi Mohd Samsudin pula menegaskan permohonan maaf yang telah dibuat oleh remaja itu tidak memadai.

"Permohonan maaf tidak menggugurkan tanggungjawab undang-undang. Malaysia adalah negara hukum. 

"Penghinaan terhadap mana-mana agama, apatah lagi kitab suci, mesti disiasat dan diambil tindakan berdasarkan lunas undang-undang yang adil dan telus," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS