mk-logo
Berita
Mahkamah Rayuan: Perhilitan langgar undang-undang bunuh lotong celak
Diterbitkan:  Feb 26, 2026 6:05 PM
Dikemaskini: 10:05 AM

Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bertindak salah apabila pegawainya menembak dan membunuh sekumpulan lotong cengkong atau lotong celak di Port Dickson, Negeri Sembilan pada 2021.

Menurut peguam Rajesh Nagarajan, panel tiga hakim membuat keputusan itu apabila membenarkan rayuan aktivis Nurul Azreen Sultan terhadap Perhilitan serta empat pihak lain.

Dia berkata Mahkamah Rayuan mendapati Mahkamah Tinggi di Seremban terkhilaf apabila memutuskan pegawai Perhilitan berhak dari segi undang-undang membunuh primat berkenaan susulan dakwaan tingkah laku agresif.

“Mahkamah mendapati walaupun terdapat ancaman daripada seekor lotong celak, tindakan menghapuskan keseluruhan kumpulan haiwan itu amat tidak seimbang dan menyalahi undang-undang.

“Keterangan tidak menyokong dakwaan bahawa tindakan maut berskala besar itu perlu.

“Sebaliknya, skala pembunuhan menunjukkan tindakan yang tidak selari dengan mandat statutori Perhilitan, yang fungsi terasnya untuk pemeliharaan serta pemuliharaan hidupan liar.

“Kemusnahan menyeluruh kumpulan itu bercanggah dengan tujuan tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Rayuan itu didengar oleh Hakim Choo Kah Sing, Mohd Firuz Jaffril dan Nadzarin Wok Nordin.

Tiada anak lotong dibunuh

Pada 23 Julai 2021, Azreen bersama kumpulan hak haiwan Pertubuhan Hak Asasi Hidupan Liar Malaysia (Hidup) memfailkan tindakan sivil berhubung pelupusan kira-kira 20 lotong celak.

Insiden itu didakwa berlaku di belakang rumah Azreen di Taman Raja Zainal, Port Dickson, pada 19 Mei 2021.

Bagaimanapun Perhilitan menafikan dakwaan membunuh 20 haiwan terancam tersebut dan menjelaskan jabatan itu hanya menembak tujuh ekor lotong yang mengganggu kawasan berkenaan, seperti dilaporkan Free Malaysia Today sebelum ini.

Mereka turut menyatakan tidak ada anak lotong celak yang dibunuh dalam operasi itu.

Perhilitan sebelum ini berkata pihaknya telah meneliti semua sudut dan cuba menangkap lotong tersebut namun gagal sebelum tindakan pelupusan dilakukan.

Lotong celak (Trachypithecus obscurus) merupakan spesies dilindungi di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 yang memperuntukkan perlindungan serta pemuliharaan hidupan liar.

Bagaimanapun saman difailkan Azreen dan Hidup ditolak pesuruhjaya kehakiman Mohamad Haldar Abdul Aziz pada 30 Okt 2024.

Susulan itu, aktivis berkenaan memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan pada Dis 2024.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS