GLOBAL l Pakistan melancarkan serangan udara ke atas bandar-bandar utama di Afghanistan termasuk ibu negaranya, Kabul, pada Jumaat.
Tindakan itu mendorong Menteri Pertahanan Pakistan mengisytiharkan kedua-dua negara jiran tersebut kini berada dalam fasa "perang terbuka" selepas berbulan-bulan terlibat dalam pertempuran berbalas.
AFP melaporkan serangan ini menyusul selepas tentera Afghanistan menyerang pasukan sempadan Pakistan pada malam Khamis, yang menurut kerajaan Taliban sebagai tindakan balas terhadap serangan udara maut sebelum ini.
Wartawan agensi berita di Kabul dan Kandahar melaporkan bunyi letupan kuat serta deruan jet pejuang di ruang udara.
Hubungan antara kedua-dua negara merudum dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini. Pintu sempadan darat sebahagian besarnya telah ditutup sejak pertempuran berdarah pada Oktober lalu yang mengorbankan lebih 70 nyawa di kedua-dua pihak.
Islamabad menuduh Afghanistan gagal bertindak terhadap kumpulan militan yang melancarkan serangan di Pakistan, namun dakwaan itu dinafikan sekeras-kerasnya oleh kerajaan Taliban.
Beberapa pusingan rundingan telah diadakan melalui pengantaraan Qatar dan Turki sebelum ini, namun usaha tersebut gagal mencapai perjanjian gencatan senjata yang kekal.
Konfrontasi habis-habisan
Menteri Maklumat Pakistan, Attaullah Tarar melalui hantaran di media sosial X mengesahkan bahawa sasaran pertahanan Taliban di Kabul, wilayah Paktia dan Kandahar telah dibedil.
Dalam pada itu, AFP juga memetik Menteri Pertahanan, Khawaja Asif secara terbuka mengisytiharkan "konfrontasi habis-habisan" terhadap kerajaan pimpinan Taliban.

"Kesabaran kami sudah mencapai hadnya. Sekarang adalah perang terbuka antara kami dan kamu," tegas beliau.
Di Kabul, letupan kuat dan bunyi tembakan kedengaran selama lebih dua jam. Malah, di bandar Kandahar yang menjadi pangkalan Pemimpin Tertinggi, Hibatullah Akhundzada, deruan jet pejuang turut dilaporkan menyelubungi ruang angkasa.
Taliban lancar operasi ofensif
Jurucakap kerajaan Taliban, Zabihullah Mujahid mengesahkan serangan udara Pakistan tersebut namun mendakwa tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Beberapa jam sebelum serangan udara bermula, Mujahid mengumumkan "operasi ofensif besar-besaran" di sempadan sebagai tindak balas terhadap apa yang dipanggil sebagai pencabulan berulang kali oleh tentera Pakistan.
Kementerian Pertahanan Afghanistan melaporkan lapan anggotanya terbunuh dalam serangan darat tersebut. Selain itu, seorang pegawai melaporkan beberapa orang awam cedera berhampiran pintu sempadan Torkham, termasuk di sebuah kem pelarian.
"Sebiji peluru meriam mengenai kem tersebut dan malangnya tujuh pelarian kami cedera, dengan keadaan seorang wanita dilaporkan serius," kata Ketua Maklumat wilayah Nangarhar, Qureshi Badlun.
Mujahid turut mendakwa beberapa tentera Pakistan telah "ditangkap hidup-hidup", namun dakwaan itu dinafikan oleh Pejabat Perdana Menteri di Islamabad.
Operasi ketenteraan ini merupakan rentetan daripada serangan Pakistan di wilayah Nangarhar dan Paktika awal minggu ini yang menurut misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mengorbankan sekurang-kurangnya 13 orang awam.
Meskipun Arab Saudi cuba campur tangan awal bulan ini bagi meredakan ketegangan melalui pembebasan tiga tentera Pakistan yang ditawan sejak Oktober, namun pelanggaran gencatan senjata yang berterusan telah membawa kedua-dua negara ke ambang peperangan berskala penuh.
Tiada kemalangan jiwa
Sementara itu, Anadolu Ajansi yang memetik jurucakap kerajaan Afghanistan dan sumber tempatan mengesahkan bahawa tentera Pakistan melancarkan serangan udara awal pagi Jumaat di beberapa bahagian Afghanistan, termasuk ibu negara Kabul serta wilayah Kandahar dan Paktia.
“Tentera Pakistan melancarkan serangan udara di beberapa kawasan di Kabul, Kandahar dan Paktia. Mujur, tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya.
Beberapa letupan berskala besar turut dilaporkan berlaku di Kabul, menurut sumber tempatan.
Maklumat yang diperoleh wartawan Anadolu daripada sumber di ibu negara menunjukkan beberapa letupan berlaku di pusat bandar sekitar 2.30 pagi waktu tempatan (2200GMT Khamis).
Anadolu tidak dapat mengesahkan secara bebas dakwaan mengenai kemalangan jiwa yang dibuat oleh kedua-dua pihak.
Menurut penyiar milik kerajaan Pakistan, PTV News, yang memetik sumber keselamatan, tentera Pakistan memusnahkan beberapa kemudahan ketenteraan di Kabul, Kandahar dan Paktia.
Sumber keselamatan turut memaklumkan bahawa sebuah depot peluru dan pangkalan logistik dimusnahkan dalam serangan udara di Kandahar.
Angka korban dijangka meningkat
Sementara itu, menurut laporan Tolo News, Kementerian Pertahanan Afghanistan berkata operasi balas oleh pasukan Afghanistan yang menyasarkan kedudukan Pakistan di sepanjang Garisan Durand berakhir pada tengah malam waktu tempatan.
Mengesahkan tindakan ketenteraan berterusan, jurucakap Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif bagi media asing, Mosharraf Zaidi, berkata serangan balas Pakistan terhadap sasaran di Afghanistan masih diteruskan setakat awal pagi Jumaat.
Dia berkata 133 anggota tentera Afghanistan terbunuh dan lebih 200 cedera, dengan angka korban dijangka meningkat susulan serangan terhadap sasaran ketenteraan di Kabul, Paktia dan Kandahar.
Zaidi menambah 27 pos tentera Afghanistan dimusnahkan dan sembilan lagi dirampas, manakala pelbagai kemudahan ketenteraan termasuk dua ibu pejabat kor, tiga ibu pejabat briged, depot peluru, pangkalan logistik serta ibu pejabat batalion dan sektor, selain lebih 80 kereta kebal, sistem artileri dan kenderaan berperisai turut dimusnahkan.
Beliau berkata “tindak balas segera dan berkesan” Pakistan terhadap pencerobohan masih diteruskan.
Tuduhan militan
Terdahulu, Kabul memaklumkan lapan anggota tentera Afghanistan terbunuh dan turut mendakwa bahawa “55 anggota tentera Pakistan terbunuh” dalam pertempuran sempadan itu.
Serangan itu berlaku di tengah-tengah ketegangan rentas sempadan yang semakin memuncak antara Kabul dan Islamabad.
Awal Khamis, sekurang-kurangnya lapan anggota tentera Afghanistan dan dua anggota tentera Pakistan terbunuh dalam pertempuran sempadan selama empat jam yang disifatkan pegawai Afghanistan sebagai “operasi balas.”
Peningkatan ketegangan itu menyusuli serangan udara Pakistan minggu lalu yang menurut Islamabad mengorbankan 70 “pengganas,” manakala pegawai Afghanistan dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan kematian orang awam, dakwaan yang dinafikan Pakistan.
Hubungan antara kedua-dua negara merosot sejak beberapa bulan kebelakangan ini apabila Pakistan menuduh militan beroperasi dari wilayah Afghanistan, tuduhan yang ditolak Kabul, walaupun hubungan diplomatik masih diteruskan dalam usaha meredakan ketegangan.
