Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Presiden Venezuela mohon batalkan dakwaan
Diterbitkan:  Feb 27, 2026 11:53 AM
Dikemaskini: 3:53 AM

GLOBAL l Presiden Venezuela Nicolas Maduro memohon kepada mahkamah Amerika Syarikat (AS) untuk membatalkan dakwaan terhadapnya, menurut dokumen yang diperoleh, lapor Sputnik/RIA Novosti.

“Presiden Maduro dengan hormatnya memohon Mahkamah ini untuk membatalkan Dakwaan Keempat yang Disemak Semula terhadapnya,” menurut aduan itu.

Pihak pembelaan Maduro menegaskan haknya telah dicabuli sepanjang prosiding jenayah dijalankan.

“Tindakan kerajaan AS bukan sahaja menjejaskan hak Maduro tetapi juga mandat Mahkamah ini untuk menyediakan perbicaraan adil kepada semua defendan mengikut perlindungan yang dijamin oleh Perlembagaan AS,” menurut dokumen tersebut.

Pada 3 Jan, AS melancarkan serbuan besar ke atas Venezuela, menangkap Presiden Nicolas Maduro dan isterinya, Cilia Flores, dan membawa mereka ke New York.

Menurut pihak berkuasa AS, mereka didakwa terlibat dalam “keganasan narkotik”.

Semasa penampilan mereka di mahkamah di New York, Maduro dan Flores mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan tersebut.

Susulan penahanan Maduro, Mahkamah Agung Venezuela memindahkan tugas ketua negara buat sementara waktu kepada Naib Presiden Delcy Rodriguez, yang secara rasmi mengangkat sumpah sebagai pemangku Presiden pada 5 Jan.

Sejak itu, Washington dan Caracas telah mengambil beberapa langkah untuk memperbaiki hubungan yang tegang antara kedua-dua negara.

Dalam perkembangan berkaitan, Sputnik/RIA Novosti melaporkan pihak berkuasa Venezuela tidak dibenarkan membiayai pembelaan Maduro di mahkamah, berdasarkan dokumen yang diperoleh.

“Kerajaan AS, walaupun membenarkan pelbagai transaksi komersial dengan Venezuela, melarang peguam menerima dana bersih dari kerajaan Venezuela, walaupun Venezuela berkewajipan membiayai pembelaan Maduro. Sebarang perbicaraan yang diteruskan dalam keadaan ini akan cacat dari segi perlembagaan dan tidak boleh menghasilkan keputusan yang sahih untuk cabaran kemudian,” menurut dokumen itu.

“Pejabat Kawalan Aset Asing AS (OFAC) enggan menimbang semula keputusannya dan tidak akan memberikan lesen yang membolehkan kerajaan Venezuela membiayai pembelaan, seterusnya mengganggu hak Maduro untuk memilih peguam pilihannya,” dokumen itu menambah.

- Bernama-Sputnik


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS