Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tiga jurulatih Palapes didakwa sebabkan kematian
Diterbitkan:  Feb 27, 2026 12:30 PM
Dikemaskini: 4:36 AM

Tiga jurulatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang pegawai kadet Universiti Teknologi Malaysia (UTM), tahun lalu.

Ketiga-tiga pegawai Angkatan Tentera Malaysia berkenaan ialah Mejar Mohd Azmi Abu Bakar, 40; Pegawai Waran Mohd Norbuang Ghani, 41; dan Kapten Muhammad Bahaudin Abd Rashid, 30.

Bagaimanapun mereka mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Hayda Faridzal Abu Hasan.

Mengikut pertuduhan, semua mereka didakwa bersama-sama melakukan perbuatan yang menyebabkan kematian Syamsul Haris Shamsudin, 22, dengan niat mendatangkan kecederaan yang boleh membawa maut.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 28 Julai tahun lalu antara jam 2 petang hingga 3 petang di Lapang Sasar Ulu Tiram Utara, Kota Tinggi.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan dibaca bersama seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 30 tahun dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, pihak pendakwaan yang dikendalikan Pengarah Pendakwaan Johor Abdul Ghafar Abdul Latif dan Nor Afiqah Musa memaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) mengesyorkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin sekiranya mahkamah ingin menawarkan jaminan.

Hayda Faridzal awalnya menetapkan jaminan RM25,000 sebelum menjadi RM20,000 dengan seorang penjamin selepas mendengar rayuan tertuduh.

Ketiga-tiga mereka juga diarah menyerahkan pasport masing-masing kepada mahkamah.

Mohd Azmi yang baru menimang cahaya mata ketiga pada 23 hari lalu dalam rayuannya memohon agar jaminan dikurangkan memandangkan kesemua mereka tidak mampu serta tidak mempunyai masalah displin dalam tempoh berkhidmat.

Sepanjang tempoh perkhidmatan, Mohd Azmi yang telah 21 tahun berkhidmat dalam ATM, berkata kesemua mereka juga tidak pernah dikenakan sebarang tindakan tatatertib, malah ada yang perlu menanggung anak dan isteri yang sedang hamil.

“Kejadian yang berlaku masing-masing tidak minta, Yang Arif,” katanya.

Mahkamah menetapkan 13 April ini untuk sebutan kes bagi lantikan peguam serta serahan dokumen.

Syamsul Haris meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi pada 28 Julai tahun lalu setelah menjalani latihan di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat di Ulu Tiram. Allahyarham kemudian dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu, Semenyih, Selangor.

Pada 26 Ogos 2025, mahkamah tinggi memerintahkan kubur pelatih Palapes itu digali semula bagi membolehkan bedah siasat kedua dijalankan dalam tempoh 14 hari selepas jasad dikeluarkan.

Proses itu dijalankan di Hospital Kuala Lumpur pada 30 Ogos dan jenazah dikebumikan semula pada hari yang sama.

Pada 2 Dis tahun lalu AGC mengarahkan kes kematian Syamsul Haris diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan untuk siasatan lanjut oleh Polis Diraja Malaysia selepas mendengar taklimat berhubung hasil siasatan yang dijalankan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS