Pusat Komas mengecam sekeras-kerasnya tindakan seorang pelajar universiti yang memuat naik imej menghina al-Quran di media sosial baru-baru ini.
Bagaimanapun pada masa yang sama menegaskan “kebencian tidak boleh dibalas dengan kebencian”.
“Sesuatu tindakan kebencian yang dibalas dengan kebencian hanya akan memburukkan keadaan dan meningkatkan ketegangan,” kata kumpulan hak asasi manusia itu.
Kumpulan itu turut mengutuk tindakan balas dendam seperti mendedahkan maklumat peribadi (doxxing), gangguan, dan ugutan keganasan yang dianggap menyalahi undang-undang serta berisiko mencetuskan kitaran ketakutan dan tindakan sendiri.
Pusat Komas menegaskan bahawa tahap "ketersinggungan dirasai" perlu digunakan secara sama rata setiap kali simbol suci mana-mana agama dihina, bukan hanya apabila melibatkan pihak majoriti.
Terdahulu, seorang mahasiswa 21 tahun di Kuantan ditahan dan direman empat hari kerana berkongsi gambar memijak al-Quran di media sosial.
Remaja itu bagaimanapun memohon maaf secara terbuka serta mengakui ia kesilapan besar, tidak beradab dan tidak menghormati kesucian agama Islam.
Kes disiasat bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan atas melukakan perasaan agama, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara hingga setahun dan didenda atau kedua-dua sekali.
Tindakan itu dikecam pelbagai pihak dari pelbagai latar belakang, termasuk kerajaan sendiri yang mahukan tindakan tegas.
Mekanisme perdamaian
Sementara itu, dalam kenyataan hari ini, Komas menggesa kerajaan untuk segera menubuhkan mekanisme perdamaian bebas seperti Suruhanjaya Keharmonian Nasional bagi membolehkan pengantaraan dan mengendurkan konflik.
"Malaysia memerlukan proses berwibawa yang mengutamakan pencegahan dan bukan sekadar hukuman," tambah kenyataan itu lagi.
Antara syor lain yang dikemukakan termasuk:
Universiti dan agensi berkaitan perlu memperkukuh pendidikan sivik dan tanggungjawab digital.
Pemimpin politik dan orang awam digesa menghentikan hasutan serta perkongsian maklumat peribadi.
Memberi ruang kepada proses perundangan sedia ada untuk mengambil tempat tanpa gangguan.
Pusat Komas menekankan bahawa keharmonian nasional hanya boleh dibina melalui akauntabiliti, kepimpinan yang bertanggungjawab, dan dialog membina berasaskan maruah yang setara untuk semua.
