Bagi Charles Santiago, kes seorang pelajar memijak al-Quran adalah sesuatu yang tidak boleh dimaafkan dan tidak boleh dipertahankan. Namun, bekas ahli parlimen DAP itu berkata, adalah satu kesilapan jika dia tidak mengketengahkan apa yang dilihat sebagai penguatkuasaan undang-undang yang terpilih dalam hal berkaitan kaum dan agama.
Menurut Charles, inilah punca mengapa nasihat Perdana Menteri, Anwar Ibrahim supaya mengabaikan "kelompok kecil" yang mencetuskan kekacauan menjadi sukar untuk diterima. Ini kerana dalam kelompok itu, terdapat individu yang seolah-olah berada di atas undang-undang.
Menyebutnya sebagai "contoh yang nyata," dia menuding kepada pendakwah mualaf, Zamri Vinoth, yang menyamakan pembawa kavadi semasa perayaan Thaipusam penganut Hindu sebagai individu yang mabuk. Namun, individu itu tidak didakwa meskipun beratus-ratus laporan polis telah dibuat terhadapnya.

Charles berhujah bahawa rasa tidak senang Anwar terhadap nada perbincangan di media sosial sebenarnya tersasar daripada punca utama: kemarahan dalam talian bukan sesuatu yang dibuat-buat.
“Apabila rakyat berulang kali membuat laporan polis terhadap Zamri kerana kenyataan menghasut yang menyentuh sensitiviti agama, dan tiada tindakan penguatkuasaan yang nyata serta setimpal diambil, isu ini bukan lagi sekadar mengenai seorang individu. Ia adalah mengenai penguatkuasaan undang-undang yang terpilih.
“Jika Malaysia serius dalam menjunjung keharmonian, maka penguatkuasaan mesti konsisten; bukan bergantung kepada kecenderungan politik atau kepentingan ideologi. Sikap membungkam yang berlarutan bukan bermaksud berkecuali. Ia dibaca sebagai satu perlindungan,” katanya kepada Malaysiakini.
Integriti institusi
Kenyataan Charles itu menyusul selepas ucapan Anwar pada pada Majlis Sambutan Tahun Baru Cina Huazong 2026, semalam. Dalam majlis tersebut, Perdana Menteri menggesa rakyat Malaysia supaya memberi tumpuan kepada isu-isu lebih besar yang mencorak masa depan negara, daripada terus terheret dengan perkara yang memecah-belahkan.

Anwar menegaskan keperluan untuk bersatu menentang "kelompok kecil" yang cuba mencetuskan ketegangan kaum. Katanya, bahawa walaupun kelompok ini sering mencetuskan konflik dan kemarahan, kebanyakan rakyat mahukan keamanan, pertumbuhan ekonomi, serta rasa hormat terhadap semua budaya dan agama.
Charles turut mengketengahkan kontroversi pemilikan saham yang melibatkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki serta dakwaan bahawa pegawai suruhanjaya itu terjerat dalam mafia korporat, termasuk kemungkinan dinamika kartel dan rantaian pengambilan buruh asing yang tidak telus.
“Dalam sebuah negara di mana tadbir urus buruh asing sememangnya kekurangan ketelusan, dakwaan-dakwaan ini menuntut lebih daripada sekadar kenyataan membela diri. Ia memerlukan siasatan bebas, penelitian parlimen, dan pendedahan proaktif.
“Tadbir urus yang baik bukan mengenai bertahan daripada tajuk berita. Ia mengenai integriti institusi,” tambahnya.

Menyentuh mengenai isu tidak memperbaharui lesen ternakan babi di Selangor, Charles berkata walaupun ia dibingkaikan sebagai isu pematuhan peraturan atau alam sekitar, dalam masyarakat pelbagai etnik, dasar yang memberi kesan kepada sektor ekonomi minoriti akan membawa kesan kepada masyarakat.
“Jika keputusan memberi impak yang tidak seimbang kepada komuniti yang sememangnya sensitif terhadap peminggiran budaya, maka justifikasi dasar mestilah sangat jelas, melalui rundingan, dan telus.
“Jika tidak, ia akan mencetuskan persepsi, dan persepsi adalah sesuatu yang mudah membakar terutama dalam politik. Lebih-lebih lagi dalam negara berbilang kaum seperti Malaysia,” tambahnya.
Sikap tidak memihak
Walaupun Anwar menggesa rakyat Malaysia untuk bergerak melangkaui isu kaum dan agama bagi melihat gambaran yang lebih besar, Charles menyatakan bahawa banyak punca yang mencetuskan kekecewaan adalah berkisar tentang bagaimana kaum dan agama bertembung dengan tindakan penguatkuasaan, pilihan dasar, serta mesej politik.
“Kepemimpinan bukan sekadar retorik yang hebat. Ia adalah pentadbiran yang saksama. Malaysia tidak mempunyai masalah media sosial. Ia mempunyai defisit kepercayaan, yang ironinya dilakukan oleh kerajaan terhadap diri sendiri.
“Apabila penguatkuasaan dilihat terpilih, apabila institusi antirasuah berdepan persoalan kredibiliti, dan apabila keputusan kawal selia bertembung dengan sensitiviti kaum tanpa ketelusan yang mencukupi, rakyat akan bersuara. Jika tidak di Parlimen, maka di alam maya.
“Kerajaan reformis tidak boleh menuntut kematangan daripada orang ramai sementara membiarkan kekaburan prosedur berlaku dalam institusi,” katanya lagi.

Charles berkata jika Anwar mahu memulihkan keyakinan, jalannya adalah jelas: kedaulatan undang-undang yang konsisten, mekanisme pengawasan bebas, ketelusan penuh dalam tadbir urus SPRM, dan pembuktian sikap tidak memihak dalam kes yang melibatkan provokasi agama, tanpa mengira siapa yang terlibat.
“Apa-apa yang kurang daripada itu akan terus menghakis kewibawaan moral yang pernah beliau perjuangkan semasa berkempen dahulu,” tambahnya.
