Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bunuh anjing guna mercun: Pemilik restoran didenda RM2,000
Diterbitkan:  Feb 27, 2026 1:46 PM
Dikemaskini: 5:46 AM

Seorang pemilik restoran dijatuhi hukuman denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di Batu Gajah hari ini selepas mengaku bersalah membunuh seekor anjing liar dengan menggunakan mercun, bulan lalu.

Majistret Azlin Zeti Zainal Abidin turut memerintahkan tertuduh, Wong Phan Sang, 64, menjalani hukuman penjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Wong didakwa melakukan perbuatan khianat tersebut di Jalan Seroja, Taman Pusing Baru, Pusing, kira-kira jam 7.30 malam pada 28 Januari lalu. Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Dalam rayuannya, peguam Choong Hui Yean yang mewakili tertuduh memohon denda minimum RM500 atas alasan anak guamnya hanya berniat untuk menakutkan haiwan tersebut.

Mati akibat letupan

Menurut Choong, Wong bertindak sedemikian selepas mendakwa dikejar anjing berkenaan sehingga terjatuh dari motosikal dua hari sebelum kejadian. Selain itu, tertuduh dikatakan menghidap penyakit kebimbangan (anxiety) dan telah menerima rawatan sejak tahun 2020.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Monisha Pandey memohon hukuman berat dikenakan sebagai pengajaran kepada masyarakat. Beliau menegaskan bahawa sebarang aduan mengenai haiwan liar sepatutnya dilaporkan kepada Majlis Daerah Batu Gajah dan bukannya mengambil tindakan melampau sendiri.

Berdasarkan fakta kes, penduduk setempat menemui bangkai anjing liar tersebut berhampiran sebuah restoran selepas mendengar bunyi letupan kuat.

Hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian menunjukkan Wong membaling objek ke arah anjing tersebut sehingga mengakibatkan kematian haiwan berkenaan.

Susulan siasatan, Wong menyerahkan satu bekas makanan mengandungi pemetik api serta enam biji mercun bola pelbagai warna kepada pihak polis pada 31 Januari lalu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS