Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin, yang akan ditukarkan daripada SPRM ke jawatan pendakwaan baharu di Jabatan Peguam Negara (AGC) mulai 2 Mac ini, berharap agar sebarang spekulasi mengenai perpindahannya itu dihentikan.
Katanya, pertukaran sedemikian adalah perkara lazim dan hubungannya dengan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, adalah baik susulan arahan pertukaran tersebut.
“Saya buat kerja macam biasa, orang yang kenal saya ni tahulah saya punya kerja macam mana daripada dulu sampai sekarang.
“Saya buat kerja, Lillahitaala (kerana Allah). Kerja untuk kerajaan dan jalankan amanah yang diberikan. Itu saja. Takda apa-apa, jangan kita spekulasi apa-apa.
“(Dan) Alhamdulillah, ((hubungan saya dengan Azam) macam biasa. Dan saya doakan urusan dia dipermudahkan seperti dalam parlimen, [Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi)] YB Kula (M Kulasegaran) cakap innocent until proven guilty.

“Bagi ruang untuk Tan Sri Azam perjelaskan. Kita doa yang baik-baik saja,” katanya ketika ditemui oleh pemberita di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.
Wan Shaharuddin menambah bahawa tiada apa yang salah dengan pertukarannya, memandangkan dirinya tidak diturunkan pangkat tetapi sebaliknya dipindahkan ke jawatan pendakwaan lain dengan gred yang sama di AGC.
“Mungkin ada benda yang lebih baik untuk saya pergi AGC, doakanlah,” kata pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM itu.
Wan Shaharuddin telah mengetuai beberapa kes rasuah berprofil tinggi sepanjang tujuh tahun berkhidmat dengan SPRM. Ini, termasuk menerajui pasukan pendakwaan bagi kes yang melibatkan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.
Pendakwa raya itu memberitahu pemberita bahawa dia akan terus mengendalikan kes-kes berkenaan meskipun terdapat perubahan dalam peranan pendakwaan dan agensinya.

“Saya buat masa ini memang diarahkan untuk membuat kes high profile, seperti kes Lim Guan Eng sekarang, saya teruskan. Kes (balu Daim Zainudin) Toh Puan Na’imah Khalid, dan juga kes (bekas perdana menteri) Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Dan kalau ada masa memang saya bawak kes kes lain lah di mahkamah rayuan dan persekutuan. Memang tu tanggungjawab saya. Sebab saya dpp, dpp memang buat kes.
“Dan jika saya ada masa, saya akan bawa kes-kes lain ke Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan. Memang tu tanggungjawab saya. Sebab saya timbalan pendakwa raya, dan kerja timbalan pendakwa raya memang buat kes,” katanya.
Satu pekeliling bertarikh 24 Feb menunjukkan bahawa Wan Shaharuddin akan dipindahkan daripada SPRM ke jawatan Timbalan Ketua II Bahagian Perbicaraan dan Rayuan secara jawatan terapung di AGC.
Jawatan terapung ialah kedudukan tambahan sementara yang diwujudkan untuk menampung pekerja apabila tiada kekosongan jawatan tetap.
Pertukaran Wan Shaharuddin berlaku ketika penelitian terhadap SPRM atas dakwaan salah laku yang melibatkan Azam dan pegawainya.
Bloomberg dan Malaysiakini secara berasingan melaporkan awal bulan ini bahawa Azam memiliki jumlah besar saham dalam dua syarikat, yang dilihat melebihi had yang dibenarkan bagi penjawat awam.
Rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia mendedahkan bahawa Azam, pada satu ketika, memegang 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Partner Berhad dan kira-kira 4.52 juta saham dalam Awanbiru Technology Berhad.
Saham Velocity Capital Partner dipercayai dibeli pada harga sekitar RM1.5 juta, manakala saham Awanbiru dianggarkan bernilai antara RM1.24 juta hingga RM1.38 juta pada satu ketika.
Susulan itu, Bloomberg menerbitkan satu lagi laporan yang mendakwa bahawa anggota SPRM bersubahat dengan individu persendirian untuk menekan pesaing perniagaan dan merancang pengambilalihan korporat, dan Azam didakwa menyedari persubahatan tersebut malah turut bertindak menyokong perbuatan berkenaan.
