mk-logo
Berita
Pengurusan kuil Rawang fail saman atas perobohan
Diterbitkan:  Feb 27, 2026 8:45 PM
Dikemaskini: 12:45 PM

Pengurusan kuil Hindu Utchimalai di Rawang Perdana memfailkan saman di Mahkamah Majistret Shah Alam atas perobohan kuil mereka yang berlaku pada 25 Feb.

Peguam Rajesh Nagarajan dan Sachpreetraj Singh yang mewakili pengurusan kuil, mengesahkan pemfailan itu melalui satu kenyataan hari ini.

“Kami telah memfailkan saman di Mahkamah Majistret Shah Alam bagi pihak Kuil Sri Utchimalai Rawang, yang telah dirobohkan secara tidak sah pada waktu malam.

“Saman ini difailkan untuk menjaga kepentingan Kuil Sri Utchimalai Rawang akibat tindakan pemilik tanah bersama-sama pihak ketiga dalam perobohan kuil secara haram.

Peguam Rajesh Nagarajan.

“Oleh itu, adalah jelas bahawa semua pihak mesti segera menghentikan sebarang perobohan kuil secara haram selanjutnya sementara menunggu penyelesaian saman di mahkamah,” kata kenyataan itu.

Kuil itu dirobohkan pada awal pagi Rabu lalu, selepas jawatankuasanya memindahkan patung dewa-dewinya susulan persetujuan yang dicapai dengan pemilik tanah Yayasan Kubra dan pihak berkuasa.

Menurut wakil Yayasan Kubra, jawatankuasa kuil itu telah mengalihkan patung dewa-dewi berkenaan dan barang-barang lain sebelum tarikh akhir 14 hari yang dipersetujui tamat pada tengah malam.

Aktivis Yayasan Kubra, Ariff Omar memberitahu Malaysiakini pada hari yang sama bahawa sekumpulan sukarelawan kemudian tiba sekitar jam 3 pagi dan mula merobohkan, dipantau oleh pegawai polis.

Bagaimanapun, Rajesh dan Sachpreetraj mengutuk perobohan kuil itu dan mempertikaikan dakwaan bahawa pihak pengurusan kuil telah mengosongkan tapak tersebut secara sukarela.

Para peguam berkata dakwaan itu palsu dan tidak masuk akal kerana pengerusi kuil telah membuat laporan polis sehari sebelum perobohan, mengadu bahawa kuil itu ditekan untuk mengosongkan tanah tanpa sebarang perintah mahkamah.

Para peguam juga mendakwa “operasi tengah malam” tanpa perintah mahkamah merupakan pengusiran tempat ibadat yang menyalahi undang-undang.

Kuil di Rawang Perdana menjadi kontroversi baru-baru ini selepas aktivis Tamim Dahri, yang lantang dalam kempen menentang kuil-kuil tanpa izin, mula merobohkannya dua minggu lalu.

Yayasan Kubra berkata pihaknya meminta bantuan Tamim merobohkan truktur tersebut bagi memberi laluan kepada projek perumahan untuk golongan miskin di plot tersebut.

Perobohan itu membawa kepada konfrontasi antara Tamim, yang merobohkan struktur tersebut bersama tiga orang rakannya dan beberapa individu yang mempertahankan kuil tersebut.

Polis menahan Tamim dan kumpulannya, tetapi mereka kemudiannya dibebaskan selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam mengetepikan perintah reman dua hari yang dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Shah Alam pada hari yang sama.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS