Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kemasukan jenama besar di bazar Ramadan perlu diteliti

Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) mengingatkan penyertaan syarikat atau jenama besar untuk bersaing dengan penjaja di bazar Ramadan boleh memberi kesan kepada ekonomi golongan berkenaan.

Presiden DPMM, Norsyahrin Hamidon, berkata tanpa kawalan yang sewajarnya, fenomena peralihan pelanggan boleh berlaku secara besar-besaran sekali gus menjejaskan peniaga kecil.

Golongan terbabit, katanya, tidak mempunyai kelebihan dari segi skala, modal atau keupayaan untuk menawarkan harga lebih rendah di pasaran.

Dia turut menegaskan, ketika mana-mana peniaga sah berhak menjalankan perniagaan dalam sistem ekonomi terbuka, keutamaan tetap perlu diberikan kepada peniaga mikro khususnya golongan B40 serta usahawan baru.

Sebahagian daripada mereka, kata Norsyahrin, menjadikan bazar Ramadan sebagai peluang utama menjana pendapatan.

“Bazar Ramadan bukan sekadar ruang menjual makanan berbuka puasa tetapi platform pembangunan dan inkubator usahawan rakyat,” katanya kepada Malaysiakini.

Norsyahrin Hamidon

Sehubungan itu, Norsyahrin mencadangkan agar pihak berkuasa tempatan (PBT) menetapkan kuota khusus untuk peniaga mikro, mengehadkan penyertaan jenama besar atau meletakkan mereka di zon berasingan.

Langkah lain yang boleh diambil, katanya, ialah mewujudkan kategori khas seperti francais atau jenama nasional serta mengutamakan peniaga tempatan dalam agihan tapak.

Baru-baru ini beberapa jenama besar dalam industri makanan dan minuman melebarkan sayap mereka untuk bersaing dengan penjaja kecil di bazar Ramadan.

Jenama yang terkenal dan mempunyai premis di merata-rata tempat itu menawarkan harga minuman serendah RM3.90 secawan.

Selain mempunyai pengaruh yang besar, tawaran produk pada harga rendah dibimbangi boleh memberi kesan kepada penjaja kecil lain – yang seringkali dikaitkan dengan kualiti makanan atau minuman yang tidak memuaskan, serta harga lebih tinggi.

‘Esok jangan beli lagi’

Norsyahrin berkata persaingan sihat memang perlu digalakkan, tetapi ia mestilah dilaksanakan secara adil dan berstruktur agar bazar Ramadan kekal sebagai medan memperkasa ekonomi rakyat, bukan ruang komersial tanpa kawalan yang akhirnya menekan golongan paling kecil dalam rantaian perniagaan.

Presiden Persatuan Peniaga dan Penjaja Bumiputera Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur , Rosli Sulaiman, berpendapat kemasukan jenama besar di tapak bazar Ramadan hanya menyebabkan ada peniaga kecil akan gagal mendapatkan tempat berniaga.

Dia berpandangan penyertaan jenama besar di bazar Ramadan juga memaksa penjaja kecil bersaing dalam keadaan yang tidak seimbang.

Di pihak penjaja atau peniaga kecil, katanya, mereka adalah peserta yang bermusim berbanding syarikat besar yang beroperasi sepanjang tahun dan sudah terkenal di seluruh negara.

Rosli Sulaiman

“Beri keutamaan kepada penjaja kecil dahulu. Mereka kadang-kadang nak dapat RM50 sehari pun susah,” katanya.

Dia juga mendakwa tidak wajar semua peniaga dianggap sama saja apabila isu harga dan kualiti produk diperkatakan, sebaliknya pelanggan perlu lebih bijak menilai sebelum membuat pembelian.

Rosli menegaskan peniaga makanan juga perlu bersikap jujur dalam menjalankan perniagaan, namun keputusan akhir tetap wajar diserahkan kepada pengguna untuk menilai dari segi harga dan kualiti yang ditawarkan.

“Jika makanan tidak sedap atau harga tidak berbaloi, esok jangan datang beli lagi,” katanya.

Ruang untuk berkembang

Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Ampang (Peka), Ayob Abd Majid, pula berkata kehadiran jenama besar di kawasan peniaga kecil perlu dilihat dari sudut persaingan yang adil.

“Ini bukan soal takut bersaing, tetapi soal peluang yang adil bagi semua peniaga.

“Jika pemain besar turut mendominasi ruang yang sama, fungsi asal membantu ekonomi kecil akan terhakis," katanya.

Ayob juga menyeru agar sesebuah PBT memastikan ruang bazar tetap menyediakan peluang yang seimbang antara jenama besar dan peniaga kecil untuk melindungi kepentingan peniaga kecil dari risiko kehilangan pelanggan walaupun menawarkan kualiti yang setanding.

"Di bazar, kita ada anak-anak muda yang menjual kopi hasil usaha sendiri. Mereka bukan syarikat besar, tetapi mereka berusaha membina nama dan pelanggan.

“Jadi ruang itu sepatutnya memberi peluang kepada mereka untuk berkembang," katanya.

Ayob Abd Majid

Terkait soal harga, kata Ayob, persepsi pelanggan tentang harga juadah tidak selalu menggambarkan realiti peniaga kerana kenaikan harga juadah banyak dipengaruhi oleh kos bahan mentah, sewaan dan gaji pekerja.

Pandangan sama disuarakan oleh ketua aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Nadzim Johan, yang menegaskan sebarang keputusan berhubung penyertaan jenama besar di bazar Ramadan perlu dikaji secara serius terlebih dahulu.

“Perlu ada kajian dahulu untuk teliti kesan jangka panjang,” katanya.

Tambah Nadzim, kaedah pelesenan juga wajar diteliti semula dengan mengambil kira keperluan semasa serta kebaikan atau keburukan kepada peniaga sedia ada.

Menurutnya, sebarang keputusan tidak seharusnya dibuat tanpa mendapatkan pandangan dan sokongan peniaga kecil sendiri, selain memastikan matlamat pelaksanaannya perlulah jelas.

Nadzim turut mencadangkan jenama besar hanya menyertai bazar Ramadan di kawasan elit seperti di Taman Tun Dr Ismail, Mont Kiara atau Bukit Tunku.

Dengan langkah itu, dakwa Nadzim, segmen pasaran yang disasarkan lebih jelas dan tidak memberi kesan kepada peniaga kecil di kawasan biasa.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS