Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ULASAN | Pencalonan Samsuri bukti kepimpinan ulama PAS luntur

ULASAN | Pemilihan Pengerusi PN, Ahmad Samsuri Mokhtar, sebagai poster boy mereka bagi menghadapi PRU ke-16 menunjukkan konsep kepimpinan ulama semakin luntur dalam perjuangan PAS.

Andai kata kepimpinan ulama menjadi asas perjuangan parti itu, sepatutnya Abdul Hadi Awang yang diangkat sebagai poster boy. Namun ternyata ini tidak berlaku.

Begitulah wajah sebenar PAS – hanya mementingkan politik dan bukannya perjuangan Islam sebenar. Islam hanya ditunggang sebagai candu politik demi meraih undi dan sokongan terutamanya daripada orang Melayu.

Hakikatnya, PAS sering membuat ‘fatwa’ yang berubah-ubah mengikut selera politik mereka.

Ketika bermusuh dengan Umno, parti itu dikafirkan, tetapi ketika mahu bersama Umno diibarat satu rahmat.

Ketika menjadi pembangkang, hukum hudud dan RUU 355 menjadi taruhan, tetapi mereka menjadi bisu apabila menjadi kerajaan.

Dengan perubahan kompas politik PAS sekarang, parti itu tidak lagi boleh mendabik dada mengatakan mereka sahaja boleh memperjuangkan Islam.

Tuduhan Amanah sebagai liberal, sekular dan bermacam-macam lagi tidak lagi relevan kerana PAS sendiri tidak memperjuangkan kepimpinan ulama.

Prestasi paling buruk

PAS menuduh Amanah tidak Islamik hanya kerana berkawan dengan DAP tetapi ia tidak berasas kerana PAS juga pernah berkawan dengan DAP, malah menyokong kepimpinan DAP dalam kerajaan Pulau Pinang pada 2008 dan 2013.

PAS dan PN semenangnya gagal untuk berfungsi dengan baik sebagai kerajaan dan ia bukanlah disebabkan perbezaan politik di antara Persekutuan-negeri.

Hal itu kerana PH terbukti dapat mentadbir Selangor dan Pulau Pinang dengan baik sebelum ini walaupun ketika tidak sealiran dengan pemerintah di peringkat persekutuan.

Justeru mengapa PAS tidak dapat menunjukkan prestasi yang serupa?

Berdasarkan data 2024, satu per tiga – atau atau 33.6 peratus – Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia disumbangkan oleh dua negeri, iaitu Selangor dan Pulau Pinang.

Keempat-empat negeri di bawah PAS dan PN pula hanya menyumbangkan kurang daripada 8 peratus kepada KDNK dengan Terengganu sekadar 2.4 peratus.

Prestasi paling buruk direkodkan oleh Kelantan apabila sumbangannya pada 2024 hanyalah 1.7 peratus walaupun negeri itu merupakan negeri keenam terbesar di Malaysia.

Lebih malang lagi, data setakat 31 Dis 2025 menunjukkan Kelantan, Terengganu dan Kedah menyumbang lebih separuh kes kemiskinan di Semenanjung Malaysia.

Rakyat perlu bijak menilai kemampuan sesebuah kerajaan dan boleh menjadikan sumbangan sesebuah negeri kepada KDNK sebagai indikasi prestasi ekonominya.

Dengan prestasi baik ekonomi negara di bawah kepimpinan Anwar Ibrahim sekarang, Malaysia sudah berada di landasan yang betul untuk mencapai ekonomi yang lebih baik.

Ekonomi yang baik menjanjikan kesejahteraan hidup rakyat. Pada hari ini pun banyak insentif kebajikan rakyat yang dilaksanakan oleh kerajaan Madani.

Di samping itu, kecukupan makanan dengan harga berpatutan sekarang adalah kunci kepada pengurangan kos sara hidup.


FAIZ FADZIL ialah Setiausaha Agung Amanah.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS