Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, mendakwa keputusan kerajaan menangguhkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung dakwaan kewujudan "mafia korporat" melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah satu taktik jelas untuk melengah-lengahkan masa.

Dia berkata tiada sebab mengapa RCI tidak boleh dijalankan serentak dengan siasatan yang diketua peguam negara berhubung pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki kerana kedua-dua isu itu adalah berbeza.

"Jadi untuk mengatakan bahawa (RCI) perlu tunggu siasatan (pegangan saham) sebelum RCI boleh dipertimbangkan, jelas sekali ini adalah taktik untuk melengahkan.

"Mereka mahu membeli lebih banyak masa dan meredakan tekanan daripada DAP untuk menhbuhkan RCI ini," katanya kepada Malaysiakini.

Tuntutan DAP supaya sebuah RCI ditubuhkan telah dibincangkan dalam mesyuarat kabinet pada Jumaat lalu.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, kemudian memberitahu media bahawa keputusan untuk menubuhkan RCI itu hanya akan dipertimbangkan selepas siasatan pemilikan saham itu selesai.

Fahmi berkata hasil siasatan mengenai perkara itu dijangka diumumkan minggu hadapan.

Istilah "mafia korporat" merujuk kepada dakwaan bahawa SPRM bersekongkol dengan individuuntuk menekan pesaing perniagaan.

Sementara itu, Azam menjadi tumpuan apabila pemilikan sahamnya dipercayai melebihi had yang ditetapkan untuk penjawat awam.

SPRM dan Azam menafikan melakukan sebarang kesalahan yang melanggar undang-undang.

Selain melengah-lengahkan penubuhan RCI, Rafizi percaya kerajaan menggunakan taktik lain untuk mengalih perhatian orang ramai daripada skandal dihadapi SPRM.

Dia merujuk kepada pendedahan pada hari mesyuarat kabinet bahawa polis sedang menyiasat cubaan untuk menggugat kestabilan negara.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan - berkaitan aktiviti yang dianggap menjejaskan demokrasi berparlimen - satu jenayah yang kerap disiasat ketika kemuncak skandal 1MDB.

Pendedahan itu kemudian mencetuskan kenyataan yang jarang-jarang dikeluarkan oleh Pejabat Peguam Negara (AGC) yang menyeru agar siasatan menyeluruh dan bebas dijalankan terhadap dakwaan tersebut.

Isteri bekas menteri kewangan, Allahyarham Daim Zainuddin, Na'imah Abdul Khalid, didakwa sebagai dalang di sebalik usaha itu. Dia didakwa mengadakan pertemuan tahun lalu untuk membincangkan rancangan menggunakan media antarabangsa bagi memberi tekanan kepada Anwar dan Azam.

Na'imah menafikan dakwaan tersebut.

Menurut Rafizi, pendedahan polis itu dilakukan pada waktu yang pelik dan merupakan cubaan mengalihkan perhatian daripada skandal membabitkan SPRM kepada "isu keselamatan negara".

Dia berkata ini adalah taktik yang sama digunakan kerajaan Najib Razak semasa skandal 1MDB.

Rafizi berkata dia pada mulanya hairan mengapa Anwar percaya taktik sedemikian boleh mempengaruhi sentimen orang ramai, namun Ahli Parlimen Pandan itu kemudian menyedari pengalaman Anwar berkaitan skandal 1MDB berbeza dengan orang lain.

"Semasa skandal 1MDB, dia berada di penjara, bukan berada di barisan hadapan (mendedahkan isu tersebut), jadi mungkin beliau tidak terlalu sentimental mengenainya.

"Beliau tidak mengalami trauma 1MDB, seperti orang media, Malaysiakini, Tony Pua, saya sendiri, dan rakyat — yang amat terkesan olehnya (1MDB).

"Oleh kerana beliau tidak mempunyai memori kolektif itu, mungkin beliau fikir perkara ini (tuduhan menggugat kerajaan) mampu mempengaruhi orang ramai," kata Rafizi.

Anwar dipenjarakan pada April 2014 selepas disabitkan kesalahan dalam kes liwat.

Dia dibebaskan pada Mei 2018 apabila mendapat pengampunan penuh daripada Yang di-Pertuan Agong dan setelah Najib disingkirkan daripada jawatan perdana menteri.

Skandal 1MDB berkisar pada dakwaan berbilion ringgit disalurkan keluar daripada dana itu, yang sebahagiannya dimasukkan ke akaun Najib sendiri.

Najib menafikan semua dakwaan terhadapnya manakala polis menahan cubaan menekan perdana menteri ketika itu agar disiasat.

Najib kini disabitkan bersalah dalam kes rasuah 1MDB serta kes berkaitan SRC International.

Berkaitan isu semasa, Rafizi berkata semua pihak perlu terus memberi tumpuan dan memberikan tekanan agar RCI SPRM ditubuhkan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Hulu Langat, Sany Hamzan, ketika diminta mengulas mengambil sikap berbeza mengenai penubuhan RCI berkenaan dan sebaliknya meminta semua pihak supaya bersabar.

Dia berkata kerajaan hanya mengikut proses yang betul dan ada sebab mengapa mereka menunggu siasatan mengenai pemilikan saham itu selesai terlebih dahulu - seperti kemungkinan kaitan dengan dakwaan kolusi.

Namun, dia berkata selepas hasil siasatan diumumkan, rakyat bebas untuk tidak bersetuju dengannya.

"Kita di luar ni cuma kalau kita rasa hasil siasatan lagi tak kena hasrat kita. Kalau tak kena, kita boleh cadang kepada PM supaya tubuh RCI. Tapi kita tunggu dulu," kata Sany kepada Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS