Serangan balas Iran terhadap aset Amerika Syarikat (AS) di rantau ini berterusan untuk hari kedua, sekali gus meningkatkan kebimbangan terhadap konflik yang lebih luas.
Beberapa siri letupan kedengaran di seluruh negara-negara Teluk dan sekurang-kurangnya tiga orang maut di Emiriah Arab Bersatu (UAE) ketika Iran melancarkan serangan balas terhadap serangan AS dan Israel yang mengorbankan pemimpin Aaungnya, Ayatollah Ali Khamenei serta beberapa pegawai tinggi yang lain.
Al Jazeera melaporkan letupan kedengaran buat hari kedua pada Ahad di Dubai, UAE; ibu negara Bahrain, Manama; dan ibu negara Qatar, Doha. Situasi itu menimbulkan kebimbangan mengenai konflik lebih meluas di rantau yang selama ini dianggap sebagai pelabuhan aman dan selamat di tengah-tengah Timur Tengah yang bergolak.
Saksi di Doha melaporkan terdengar beberapa bunyi dentuman kuat dan melihat asap hitam tebal menjulang di ufuk pagi yang cerah di selatan bandar tersebut.

Tidak lama kemudian, gelombang letupan lain bergema di Dubai yang merupakan pusat perniagaan serantau. Kepulan asap putih daripada pintasan peluru berpandu kelihatan di ruang angkasa bandar itu, manakala kepulan asap gelap menjulang di Jebel Ali, salah satu pelabuhan paling sibuk di Timur Tengah.
Dentuman kuat
Kementerian Pertahanan di Abu Dhabi mengesahkan tiga mangsa yang terkorban dalam serangan di UAE merupakan warga Pakistan, Nepal dan Bangladesh.
Letupan turut dilaporkan di Manama dengan saksi melaporkan sekurang-kurangnya empat dentuman kuat. Bagaimanapun, tiada laporan segera mengenai kerosakan atau kecederaan daripada letupan pada Ahad itu.
Lewat hari ini, Agensi Berita Oman melaporkan bahawa pelabuhan komersial Duqm yang terletak di Wilayah Al Wusta, tengah Oman, telah diserang oleh dua dron. Laporan itu menyatakan seorang pekerja ekspatriat cedera dalam serangan tersebut.
Serangan ke atas Oman, yang sebelum ini bertindak sebagai perantara rundingan antara Iran dan AS sebelum serangan AS dan Israel pada Sabtu, dikutuk oleh Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

Jurucakap Kementerian Luar Qatar, Majed al-Ansari berkata, serangan ke atas Oman "merupakan serangan terhadap prinsip pengantaraan itu sendiri".
Letupan tersebut berlaku selepas sehari serangan serupa oleh Iran ke atas pangkalan yang digunakan oleh tentera AS dan aset AS yang lain di seluruh Teluk.
Memintas peluru berpandu
Ribuan tentera AS ditempatkan di negara-negara Arab yang kaya dengan minyak dan gas, yang terletak berhampiran dengan Iran.
Pada Sabtu, Iran melepaskan 137 peluru berpandu dan 209 dron merentasi UAE, menurut kementerian pertahanannya, dengan kebakaran dan asap menjangkau mercu tanda Dubai seperti Palm Jumeirah dan Burj al-Arab.
Di lapangan terbang Abu Dhabi, sekurang-kurangnya seorang maut dan tujuh lagi cedera semasa apa yang disifatkan oleh pihak berkuasa kemudahan itu sebagai satu "insiden". Lapangan terbang Dubai, yang merupakan lapangan terbang paling sibuk di dunia bagi trafik antarabangsa, dan lapangan terbang Kuwait turut menjadi sasaran.
Sementara itu, pegawai Qatar memaklumkan bahawa Iran telah melancarkan 65 peluru berpandu dan 12 dron ke arah negara-negara Teluk itu pada Sabtu. Walaupun sebahagian besarnya berjaya dipintas, seramai 16 orang dilaporkan cedera dalam serangan tersebut.

Di lokasi lain di rantau itu, sistem pertahanan Jordan memintas peluru berpandu yang memasuki ruang udara ibu negaranya, Amman, serta kawasan di utara negara tersebut, menurut laporan Al Jazeera Arabic. Rangkaian berita itu turut melaporkan bahawa siren amaran kedengaran di Kuwait.
Dron terhempas
Di utara Iraq pula, sebuah dron terhempas berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Erbil menurut laporan media tempatan, yang turut memaparkan kepulan asap tebal menjulang tinggi.
AS dilaporkan masih menempatkan anggota tenteranya di wilayah Kurdistan yang mempunyai kuasa autonomi di Iraq—dengan Erbil sebagai ibu negerinya—sebagai sebahagian daripada gabungan antarabangsa menentang ISIL (ISIS).
Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, turut mengadakan perbualan telefon dengan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Salman pada Ahad, bagi menyatakan kebimbangan bahawa konflik yang sedang meletus di Iran boleh memberikan implikasi "serius" kepada kawasan serantau dan global "kecuali campur tangan yang sewajarnya dilakukan".
Pemimpin kumpulan E3 (United Kingdom, Perancis, dan Jerman) mengutuk serangan berterusan Iran terhadap pangkalan yang digunakan oleh tentera AS di rantau itu. Mereka menyifatkan serangan Iran telah menyasarkan sekutu serta "mengancam kakitangan perkhidmatan dan orang awam kami di seluruh rantau ini."

"Kami menyeru Iran untuk menghentikan serangan meluaskan ini dengan serta-merta. Kami akan mengambil langkah untuk mempertahankan kepentingan kami dan sekutu di rantau ini, yang berpotensi melalui tindakan pertahanan yang perlu dan berkadaran bagi memusnahkan keupayaan Iran untuk melancarkan peluru berpandu dan dron dari puncanya," menurut kenyataan bersama itu, sambil menambah bahawa mereka telah bersetuju untuk bekerjasama dengan AS dan sekutu serantau yang lain.
Jenayah besar
Sementara itu, seorang pegawai AS memberitahu Al Jazeera bahawa Washington menjangkakan konflik dengan Iran akan "berlarutan selama berminggu-minggu, bukan hanya beberapa hari" dan ia akan berterusan sehingga pihaknya dapat menjamin Iran tidak lagi memiliki senjata nuklear atau peluru berpandu balistik.
Presiden Iran, Masoud Pezeshkian mengecam pembunuhan Khamenei sebagai "satu jenayah besar". Ketua kakitangan tentera Iran, Abdul Rahim Mousavi, turut terkorban dalam serangan AS-Israel tersebut.

Speaker parlimen Iran, Mohammad Bagher Qalibaf, dalam ucapan yang disiarkan di televisyen pada Ahad berkata, “kamu (AS dan Israel) telah melangkaui garisan merah kami dan mesti membayar harganya.”
“Kami akan memberikan tamparan yang begitu hebat sehingga anda sendiri akan terdesak untuk merayu,” katanya.
Trump berkata AS akan menyerang Iran “dengan kekuatan yang tidak pernah dilihat sebelum ini” jika negara Asia Barat itu membalas dendam atas pembunuhan Khamenei, yang telah memerintah negara tersebut selama 37 tahun.
“Iran baru sahaja menyatakan bahawa mereka akan menyerang dengan sangat keras hari ini, lebih keras daripada serangan yang pernah mereka terima sebelum ini,” kata Trump dalam satu hantaran di Truth Social.
"Mereka sepatutnya tidak melakukan perkara itu, kerana jika mereka lakukan, kami akan menyerang mereka dengan kekuatan yang tidak pernah dilihat sebelum ini!"
