Irael melancarkan gelombang serangan baharu ke atas Tehran pada Ahad dan Iran membalas dengan lebih banyak bedilan peluru berpandu, sehari selepas pembunuhan Pemimpin Agung Ali Khamenei yang mengheret Asia Barat dan ekonomi global ke dalam ketidaktentuan yang semakin meruncing.

Serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel — serta tindak balas Iran — menghantar gelombang kejutan ke seluruh dunia melalui pelbagai sektor daripada perkapalan hingga perjalanan udara serta minyak, di tengah-tengah amaran mengenai kenaikan kos tenaga dan gangguan perniagaan di rantau Teluk.
Reuters melaporkan tentera Israel mendakwa telah memintas projektil yang dilancarkan dari Lubnan pada awal pagi Isnin, dalam apa yang mungkin menjadi petanda awal kumpulan pejuang Syiah Lubnan, Hezbollah, yang sekian lama menjadi antara sekutu utama Tehran di Asia Barat, mula menyertai konflik tersebut.
Presiden AS, Donald Trump berkata serangan itu bertujuan memastikan Iran tidak memiliki senjata nuklear, menyekat program peluru berpandunya, dan menghapuskan ancaman terhadap AS serta sekutunya. Washington telah membedil lebih 1,000 sasaran Iran sejak permulaan kempen tersebut, menurut Markas Pemerintahan Pusat AS (CENTCOM).
Dalam satu kenyataan video yang dimuat naik ke laman Truth Social miliknya, Trump berikrar bahawa serangan ketenteraan akan diteruskan sehingga "semua objektif kami tercapai." Dia mendakwa serangan itu telah melumpuhkan komando tentera Iran serta memusnahkan sembilan kapal tentera laut dan sebuah bangunan nautika Iran.

Trump berkata tentera dan polis Iran sepatutnya meletakkan senjata, sambil menjanjikan imuniti bagi mereka yang menyerah diri dan mengancam "kematian pasti" buat mereka yang melawan. Dia mengulangi seruan agar rakyat Iran bangkit memberontak terhadap kerajaan.
"Saya menyeru kepada semua patriot Iran yang mendambakan kebebasan untuk merebut saat ini, menjadi berani, kental, wira dan ambil semula negara anda," kata Trump dalam video prarakaman tersebut. "Amerika bersama anda."
Terdahulu dalam satu temu bual dengan majalah The Atlantic, Trump berkata kepimpinan Iran mahu berunding dengannya dan beliau telah bersetuju.
Dalam temu bual berasingan dengan Daily Mail, dia berkata kempen ketenteraan terhadap Iran boleh berterusan untuk tempoh empat minggu akan datang.
Bagaimanapun, presiden daripada parti Republikan itu masih belum membentangkan matlamat jangka panjangnya di Iran, yang kini berdepan kekosongan kuasa yang boleh menjerumuskannya ke dalam kancah huru-hara, dengan kesan yang tidak dapat diramalkan terhadap rantau tersebut.
