Harga minyak melonjak di pasaran Asia pada Isnin susulan pergolakan di Asia Barat susulan serangan ketenteraan Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Iran.
AFP melaporkan dalam dagangan awal, minyak mentah Brent meningkat kepada lebih AS$80 (RM313.11) setong berbanding harga penutup AS$72.87 (RM285.18) pada Jumaat sebelum susut sedikit ke bawah AS$79.
Harga Brent, yang merupakan penanda aras antarabangsa bagi minyak mentah, telah pun meningkat pada minggu lalu menjelang serangan yang bermula pada Sabtu.
Dengan pergolakan serantau yang tercetus itu, pengangkutan maritim kini terancam di Selat Hormuz, yang menjadi laluan kepada kira-kira 20 peratus bekalan minyak dunia.
Walaupun Iran tidak secara rasmi menutup Selat Hormuz, pengawal revolusi negara itu memberi amaran supaya tidak melalui perairan itu.
Semalam, sekurang-kurangnya dua kapal dilaporkan diserang, satu di luar pantai Oman dan satu lagi di luar UAE, menurut agensi keselamatan maritim Britain.
Televisyen negara Iran melaporkan, sebuah kapal tangki minyak diserang dan sedang tenggelam selepas cuba melalui selat itu secara "haram".
Dalam situasi sebegini, kos insurans menjadi terlalu tinggi, kata Amena Bakr, ketua penyelidikan Timur Tengah dan OPEC+ di firma penganalisis Kpler, yang meramalkan harga minyak boleh mencecah AS$90.
Syarikat-syarikat perkapalan utama telah mengesahkan bahawa mereka menggantung laluan armada mereka melalui kawasan tersebut.
"Walaupun terdapat infrastruktur alternatif untuk memintas Selat Hormuz, kesan bersih daripada penutupannya ialah kehilangan bekalan minyak mentah sebanyak 8 juta hingga 10 juta tong sehari," kata Jorge Leon, penganalisis di Rystad Energy.
Secara teori, negara pengimport minyak mempunyai rizab, dengan negara anggota OECD diwajibkan menyimpan stok minyak selama 90 hari, namun harga melebihi AS$100 tidak boleh diketepikan.
Jika sekatan Selat Hormuz berterusan, "tidak kira berapa banyak kapasiti simpanan strategik yang ada, ia tidak akan mampu menampung jurang tersebut”.
Di pasaran saham, indeks Nikkei Jepun jatuh 2.2 peratus dalam dagangan awal manakala Sydney turun 0.5 peratus.
Emas, pelaburan selamat, meningkat dua peratus.Brent, penanda aras antarabangsa bagi minyak mentah, telah meningkat minggu lalu menjelang serangan yang bermula Sabtu dan mengorbankan pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei.
