Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Istilah ‘melalak’ perlu difahami dalam konteks sebenar - Kamil Munim
Diterbitkan:  Mar 2, 2026 3:05 PM
Dikemaskini: 7:05 AM

Pemuda PKR (AMK) memandang serius polemik yang didakwa sengaja diperbesarkan berhubung penggunaan istilah ‘melalak’ oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkaitan isu penghinaan terhadap al-Quran baru-baru ini.

Ketuanya Kamil Munim menegaskan istilah tersebut perlu difahami dalam konteks sebenar, iaitu merujuk sikap segelintir pihak yang menuduh kerajaan gagal bertindak dalam kes berkenaan, sedangkan siasatan telah dibuat.

“Kenyataan perdana menteri bukanlah serangan terhadap mana-mana individu atau kelompok. Sebaliknya, ia merupakan peringatan tegas bahawa tuduhan melulu, tohmahan tidak berasas dan permainan persepsi politik hanya akan mengeruhkan suasana serta menjejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi penguatkuasaan negara.

“Hakikatnya, individu yang terlibat dalam perbuatan menghina al-Quran telah pun ditahan dan siasatan sedang dijalankan secara menyeluruh oleh pihak berkuasa.

“Fakta ini dengan jelas membuktikan bahawa kerajaan tidak berdiam diri. Malaysia adalah sebuah negara hukum, setiap tindakan mesti berlandaskan peruntukan undang-undang, bukan tekanan emosi, desakan politik atau tuntutan bersifat populis,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Pada Sabtu malam, Anwar membidas pengkritiknya menerusi satu hantaran bersifat tersirat di platform X.

“Melalak ‘tiada tindakan’ tidak menjadikannya benar. Negara ini ditadbir oleh undang-undang, bukan emosi dan spekulasi di ruangan komen,” katanya.

Hantaran itu menimbulkan pelbagai tafsiran, termasuk andaian bahawa perdana menteri merujuk kepada skandal membabitkan SPRM.

Beberapa jam kemudian, agensi berita nasional Bernama melaporkan kenyataan Anwar itu berkaitan insiden minggu lalu apabila seorang pelajar bukan Islam memuat naik gambar memijak al-Quran.

Pelajar terbabit telah memohon maaf atas perbuatannya dan memberi alasan dia melakukan perkara itu ketika dalam keadaan marah.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengecam perbuatan itu manakala polis menahan pelajar berkenaan dan memulakan siasatan.

Namun, kemarahan orang ramai berterusan sehingga mencetuskan reaksi balas daripada Anwar.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh dan rakan sejawatnya dari PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden turut mengecam kenyataan ‘melalak’ oleh Anwar itu.

Mengulas lanjut, Kamil berkata isu melibatkan sensitiviti agama dan keharmonian antara kaum, serta tindakan yang tergesa-gesa tanpa proses sah bukan sahaja mencabul prinsip keadilan, malah berpotensi mencetuskan ketegangan yang lebih besar.

Ujarnya, ketegasan mesti disertai kebijaksanaan, dan keadilan mesti ditegakkan melalui proses yang telus serta profesional.

“Justeru, AMK menolak sebarang naratif yang cuba menggambarkan kerajaan sebagai lemah atau tidak bertindak.

“Kenyataan perdana menteri harus dilihat sebagai teguran terhadap budaya politik yang gemar membakar sentimen sebelum fakta lengkap diperoleh, bukannya usaha meremehkan kebimbangan rakyat,” katanya sambil menyeru semua pihak agar menghentikan manipulasi isu berkenaan demi kepentingan politik sempit.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS