Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP DAP tuntut jawapan jelas KDN mengenai notis merah Interpol Jho Low
Diterbitkan:  Mar 2, 2026 5:53 PM
Dikemaskini: 9:53 AM

PARLIMEN | Seorang ahli Parlimen kerajaan mengkritik keras Kementerian Dalam Negeri kerana gagal memberikan jawapan yang jelas mengenai status Notis Merah Interpol Malaysia terhadap Jho Low.

Ini selepas Dewan Rakyat hari ini menerbitkan jawapan bertulis Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, terhadap pertanyaan Chong Zhemin (PH-Kampar) mengenai usaha kerajaan mengesan dan menahan ahli perniagaan itu.

Chong berkata, menteri tersebut menjelaskan tentang autonomi Interpol dan protokol antarabangsa yang kompleks, tetapi tidak menyatakan sama ada notis untuk menangkap Jho Low masih aktif.

“Walaupun kerajaan menyatakan komitmennya tetap teguh, jawapan yang diberikan di Parlimen gagal menangani persoalan utama.

“Rakyat Malaysia tidak diberitahu sama ada terdapat Notis Merah Interpol aktif terhadap Jho Low pada masa ini. Ini adalah perkara mudah yang memerlukan pengesahan jelas.

“Menteri menjelaskan autonomi Interpol dan kerumitan protokol antarabangsa. Namun, penjelasan ini tidak menggantikan ketelusan.

“Orang ramai tidak meminta butiran operasi yang sensitif. Yang diminta ialah sama ada mekanisme amaran antarabangsa yang menyokong penangkapannya masih berkuat kuasa,” katanya dalam satu kenyataan.

Chong meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan sebab Jho Low dikeluarkan daripada notis Merah Interpol dan apa langkah susulan kerajaan untuk memastikan dia dibawa pulang.

Dalam jawapannya di Parlimen, Saifuddin berkata Malaysia kekal komited terhadap usaha mengesan dan menahan Low, yang dikehendaki berkaitan peranannya dalam skandal 1MDB.

Dia menjelaskan panjang lebar tentang autonomi Interpol dalam menguruskan notis yang dikeluarkan dan bagaimana banyak 'Notis Merah' tidak diterbitkan secara terbuka, sebaliknya hanya diberikan kepada pihak berkuasa negara berkaitan, terutamanya bagi kes yang melibatkan jenayah kewangan.

“Kes ini melibatkan bidang kuasa undang-undang pelbagai negara. Pendedahan status terpienci secara terbuka boleh mengganggu strategi diplomatik dan perundangan yang sedang berjalan.

“Keutamaan kerajaan sekarang adalah memastikan pemulangan aset negara. Sebarang kenyataan umum mengenai status lokasi atau notis individu boleh menjejaskan kerjasama sensitif dengan negara-negara luar yang sedang membantu kita.

“Oleh itu, kerajaan tidak boleh mendedahkan perincian status semasa di peringkat antarabangsa secara terbuka, demi menghormati autonomi Interpol serta menjamin kejayaan rundingan dan penyelesaian kes yang melibatkan banyak negara ini,” kata menteri itu.

Bengang dengan jawapan tersebut, Chong, yang merupakan wakil rakyat DAP, menegaskan bahawa rakyat Malaysia berhak mengetahui status untuk memburu Low kerana kes 1MDB melibatkan berbilion ringgit dana awam dan merupakan salah satu skandal kewangan paling serius dalam sejarah negara.

“Menghormati prosedur Interpol tidak menghalang kerajaan daripada mengesahkan status undang-undangnya sendiri.

“Jika Notis Merah telah dipadam atau tidak lagi aktif, rakyat Malaysia berhak mengetahui sama ada Malaysia telah membuat rayuan atau menghantar permintaan baru dengan dokumen terkini.

“Kerajaan berulang kali menyatakan bahawa pemulihan aset adalah keutamaan. Namun, keadilan tidak lengkap tanpa akauntabiliti.

"Membawa Jho Low kembali ke Malaysia untuk diadili penting bukan sahaja untuk menegakkan undang-undang, tetapi juga untuk memulihkan keyakinan rakyat terhadap institusi kita,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS