Paling Popular
Terkini

Rang Undang-Undang (RUU) bagi mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada dua penggal ataupun 10 tahun gagal mendapat undian dua pertiga ahli Dewan Rakyat bagi bacaan kali kedua.

Undian yang dijalankan melalui belah bahagian itu menyaksikan RUU itu hanya mendapat sokongan 146 ahli parlimen.

Speaker Johari Abdul ketika mengumumkan keputusan itu memaklumkan 44 ahli Parlimen memilih untuk berkecuali manakala 32 ahli parlimen tidak hadir.

RUU yang membabitkan pindaan Perlembagaan Persekutuan itu memerlukan undian dua pertiga ahli Dewan Rakyat.

"Saya bacakan keputusan belah-bahagian, tidak hadir 32, tak undi 44 dan setuju 146," kata Johari ketika mengumumkan keputusan undian.

Terdahulu, seramai 41 ahli Parlimen mengambil bahagian dalam perbahasan pindaan perlembagaan itu.

Ketua pembangkang Hamzah Zainudin (Bebas-Larut) berhujah bahawa had tempoh jawatan perdana menteri akan menghakis kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong.

Bagaimanapun, ketika membentangkan rang undang-undang itu petang tadi, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan langkah tersebut tidak akan menjejaskan kuasa Yang di-Pertuan Agong mahupun kuasa Dewan Rakyat untuk menentukan keyakinan terhadap kerajaan.

Perkara itu kemudian diperkukuh oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said dalam ucapan penggulungannya.

“Isu ini bukan mengenai mengurangkan kuasa Yang di-Pertuan Agong, sebaliknya untuk memperkemaskan prinsip akauntabiliti pada jawatan eksekutif tertinggi tanpa mengubah struktur pelantikan.

“Kuasa melantik (perdana menteri) kekal pada Seri Paduka Baginda, manakala sokongan majoriti kekal ditentukan oleh Dewan Rakyat.

“Had tempoh jawatan hanya menetapkan bahawa kuasa (perdana menteri) tidak boleh dipegang tanpa had,” katanya.

Minggu lalu, ketua whip PN< Takiyuddin Hassan berkata rang undang-undang itu boleh menjejaskan kuasa Yang di-Pertuan Agong kerana Perkara 40(2)(a) Perlembagaan Persekutuan memberi budi bicara kepada baginda untuk melantik seorang perdana menteri daripada kalangan ahli Parlimen yang diyakini mendapat sokongan majoriti.

“(Perkara itu) tidak meletakkan sebarang syarat lima tahun atau 10 tahun, jadi pada pandangan kami, rang undang-undang ini bercanggah dengan kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong yang diperuntukkan oleh perlembagaan,” katanya.

Ketika perbahasan yang berlangsung sehingga lewat petang itu, beberapa ahli Parlimen pembangkang lain turut mengkritik RUU itu yang dianggap sekadar “kosmetik”, dengan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar) mempersoalkan keutamaan kerajaan.

Dia berkata kerajaan sepatutnya telah lama memperkenalkan Akta Pendanaan Politik sebelum mencadangkan had tempoh jawatan perdana menteri, sambil menambah ketiadaan undang-undang sedemikian akan “memperhambakan” ahli politik kepada golongan kaya.

Sementara itu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Bebas-Machang) berkata pembangkang akan menyokong rang undang-undang tersebut sekiranya Anwar meletakkan jawatan sebagai menteri kewangan.

Ahli Parlimen Pasir GUdang, Hassan Abdul Karim juga bersetuju bahawa seorang perdana menteri tidak seharusnya memegang jawatan menteri kewangan pada masa sama.

“Jika boleh, dalam barisan kabinet baharu selepas Pilihan Raya Umum ke-16 nanti, adalah lebih baik diwujudkan konvensyen pemisahan jawatan antara perdana menteri dan menteri kewangan,” kata ahli parlimen PKR itu.

Azalina kemudian menolak kritikan tersebut dengan menyatakan ia menyimpang daripada fokus had tempoh jawatan.

“Isu pemegangan portfolio tertentu, termasuk portfolio kewangan, adalah perkara pentadbiran kabinet yang tertakluk kepada Perkara 43(2)(b) serta budi bicara pelantikan dalam kerangka Perlembagaan.

“Ia bukan sebahagian daripada objektif pindaan ini yang bertujuan memperkukuh struktur institusi melalui had tempoh jelas bagi jawatan eksekutif tertinggi, bukannya melalui pengkhususan atau pengasingan portfolio,” katanya.

Pada Mac tahun lalu, Presiden PAS Abdul Hadi Awang mengkritik cadangan itu dengan menyatakan had tempoh jawatan perdana menteri bertentangan dengan kehendak Tuhan.

Beberapa hari sebelum itu, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke mencadangkan kerajaan melaksanakan beberapa reformasi yang masih belum ditunaikan, termasuk mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri serta pemisahan kuasa kehakiman.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS