Pengurusan Kuil Sri Maha Mariamman Taman Koperasi Cuepacs, Kajang, menolak cadangan pembinaan jalan baru yang menghubungkan rumah ibadat itu dengan jalan utama.
Timbalan pengerusi persatuan pengurusan kuil, Tanabalan Arumugam, 53 berkata mereka menolak jalan alternatif itu kerana laluan tersebut lebih jauh berbanding jalan sebelum ini.
"Kami akan tetap menolak sebarang jalan alternatif seperti dicadangkan oleh kerajaan negeri.
“Kenapa perlu pusing 6 kilometer menerusi jalan alternatif sedangkan jalan asal yang dipersetujui oleh PBT hanya 50 meter sahaja " kata Tanabalan.

Kerajaan negeri sebelum ini mencadangkan jalan baru dari Jalan Sungai Long sepanjang 383 meter dengan kos sekitar RM3.3 juta, yang menyebabkan penganut Hindu terpaksa berpusing jauh dari kawasan perumahan berdekatan kuil berkenaan.
Cadangan itu ditolak persatuan kuil yang mendesak kerajaan negeri meluluskan jalan pendek sepanjang 50 meter seperti dipersetujui Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).
Pada 6 Feb, Exco Kerajaan Selangor, V Papparaidu berkata kerajaan negeri telah mencapai keputusan muktamad berhubung isu laluan masuk ke kuil tersebut yang telah berlarutan sejak tahun 2009.
"Walaupun tapak kuil tersebut telah didaftarkan bagi kegunaan kuil sejak tahun 1988, pelaksanaan pembinaan sebelum ini sering tertangguh akibat isu laluan akses serta ketidakpatuhan terhadap syarat kelulusan yang telah ditetapkan.
"Kebenaran merancang yang diluluskan menetapkan bahawa laluan masuk ke tapak kuil hanya dibenarkan melalui rizab jalan dari Jalan Sungai Long.
“Cadangan penggunaan jalan perumahan sedia ada serta pembinaan jalan sementara telah ditolak kerana berpotensi mencetuskan bantahan penduduk dan menimbulkan isu keselamatan.
"Sebagai penyelesaian muktamad, pembinaan satu jalan baru dari Jalan Sungai Long dengan anggaran panjang kira-kira 383 meter telah dicadangkan, dengan kos sekitar RM3.3 juta," katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Bagaimanapun Tanabalan berkata, pertikaian mengenai jalan itu hanya muncul selepas kerajaan negeri diketuai Menteri Besar, Amirudin Shari.
"Faktanya, kuil ini hanya 50 meter dari taman perumahan. Kuil ini bukan haram. Ia mempunyai tanah sendiri. MPKj pernah meluluskan beberapa jalan pada zaman sebelum Amirudin tetapi ditarik balik.
"Kamu nak bina jalan raya enam kilometer atau seribu kilometer, faktanya kuil itu tetap akan berada dalam lingkungan 50 meter daripada kawasan perumahan.
"Jadi, apa masalah kerajaan negeri memberi laluan 50 meter sedia ada? Kami bukan bina kuil di atas jalan. Sejak bila Selangor, mempunyai undang-undang baru mengenai siapa yang boleh dan tidak boleh menggunakan jalan raya awam?" soalnya.

Tanabalan juga membandingkan era kepimpinan Amirudin dengan dua pendahulunya daripada PKR, Khalid Ibrahim dan Azmin Ali.
"Isu kuil ini tidak ada masalah semasa zaman Khalid dan Azmin. Permohonan pembinaan kuil diproses dengan baik. Tiada masalah dengan PBT. Semuanya berjalan lancar. Tapi bila Amirudin jadi MB, semuanya jadi terbalik.
"Kerajaan Selangor hari ini seolah-olah tak nak isu ini selesai. Mereka macam mahu orang-orang di sini bergaduh sesama sendiri," katanya.
Untuk rekod, pertikaian berhubung akses ke kuil tersebut menjadi isu berpanjangan yang melibatkan hak tanah, kelulusan pihak berkuasa tempatan dan pelaksanaan undang-undang yang dipersoalkan.
Walaupun kuil itu terletak hanya sekitar 50 meter dari kawasan kediaman penganut Hindu, ketiadaan laluan masuk menyebabkan pihak kuil masih belum dapat membuat sebarang persiapan bagi sambutan keagamaan yang dijadualkan Julai tahun ini.
Sebelum ini, kerajaan negeri turut memberi alasan bahawa penduduk tempatan beragama Islam merupakan majoriti di kawasan tersebut dan membantah pembinaan jalan masuk ke kuil itu.
Bagaimanapun, semakan Malaysiakini mendapati data pegangan hartanah daripada MPKj sehingga Feb 2024, menunjukkan kaum bukan Melayu adalah majoriti di kawasan tersebut.
Ini kerana kuil tersebut turut digunakan oleh penduduk kawasan berhampiran dan bukan sahaja penganut Hindu di Taman Koperasi Cheras.
Bagi pegangan rumah atas tanah, di Taman Koperasi Cuepacs sahaja terdapat 379 pegangan Melayu, 38 Cina, 359 India, dan 9 lain-lain.
Jika digabungkan dengan Taman Desa Baru dan Taman Koperasi Cuepacs, jumlah keseluruhan pegangan rumah atas tanah adalah sebanyak 590 Melayu, 261 Cina, 731 India, dan 60 lain-lain kaum.
Bagi pegangan strata (rumah bertingkat) pula, jumlah keseluruhan di kawasan tersebut melibatkan 126 milik kaum Melayu, 351 Cina, 140 India, dan 101 lain-lain kaum, dengan majoriti besar tertumpu di Taman Koperasi Cuepacs yang mencatatkan 331 pegangan kaum Cina dan 127 India.
Malaysiakini telah menghubungi pejabat menteri besar dan Papparaidu untuk mendapatkan komen.
