Sekurang-kurangnya enam remaja bawah umur kini ditahan oleh polis persekutuan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma), dakwa kumpulan hak asasi manusia Suaram.
Dalam satu kenyataan, pengarah eksekutif Suaram, Azura Nasron, berkata maklumat menunjukkan remaja lelaki berkenaan, termasuk dua yang berusia 17 tahun, telah ditahan di Bukit Aman sejak mereka ditangkap pada 15 Februari.
Menurut aktivis itu, maklumat itu muncul selepas ibu bapa salah seorang tahanan mendapatkan bantuan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri Pengkalan Kundor, Mardhiyyah Johari, yang juga seorang peguam, selepas remaja itu ditangkap di Alor Setar, Kedah.
"Surat-menyurat dengan keluarga mendedahkan bahawa seorang lagi remaja lelaki berusia 17 tahun telah ditangkap di Langkawi pada hari yang sama atas kesalahan yang didakwa serupa dalam keadaan yang serupa.
"Maklumat awal yang diberikan kepada keluarga oleh polis menunjukkan bahawa sekurang-kurangnya empat remaja lain juga ditangkap pada hari yang sama, menjadikan jumlah yang kini ditahan di bawah SOSMA kepada sekurang-kurangnya enam orang.
"Setakat hari ini, remaja lelaki dari Alor Setar dan Langkawi telah ditahan di Bukit Aman di bawah Sosma selama 16 hari," katanya.
Remaja lelaki yang ibu bapanya membuat aduan itu dikatakan ditangkap di bawah undang-undang itu kerana dakwaan memiliki bahan berkaitan keselamatan yang dilarang.
Tiada maklumat lanjut mengenai identiti tahanan lain, lokasi penangkapan mereka, sebab mereka ditahan atau keadaan mereka, tambah Azura.
Malaysiakini telah menghubungi pejabat Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail dan cabang komunikasi korporat Bukit Aman untuk mendapatkan komen.
Mengecam tindakan itu, Azura berkata penggunaan Sosma untuk menahan mereka adalah satu pengabaian terang-terangan terhadap hak kanak-kanak terutamanya selepas insiden serupa yang melibatkan seorang gadis berusia 16 tahun telah dilaporkan pada Januari.
"... adalah sangat dikesali bahawa Bukit Aman dan Kementerian Dalam Negeri telah memilih untuk mengulangi pelanggaran ini pada skala yang lebih besar.
"Kejadian berulang ini bertentangan dakwaan kerajaan untuk mengimbangi keselamatan negara dengan hak asasi manusia, terutamanya memandangkan komitmen Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail untuk membentangkan pindaan Sosma pada sidang parlimen Jun dan Julai 2026 yang akan datang.
"Suaram menegaskan, dengan sekuat hati dan tegasnya, bahawa pihak polis terikat dengan undang-undang untuk mematuhi Seksyen 83 dan 84 Akta Kanak-kanak 2001 bagi sebarang tangkapan atau penahanan yang melibatkan kanak-kanak bawah umur.
"Peruntukan Sosma yang ketat tidak boleh digunakan untuk menggantikan perlindungan berkanun ini," katanya.
Azura mendakwa tangkapan itu juga melanggar Perkara 37(b) Konvensyen Hak Kanak-kanak yang mewajibkan penahanan kanak-kanak bawah umur menjadi langkah terakhir.
NGO hak asasi manusia itu menuntut pihak berkuasa untuk membebaskan enam kanak-kanak itu dengan segera dan membenarkan mereka mendapatkan khidmat nasihat guaman dan keluarga mereka tanpa kehadiran polis.
Mereka juga meminta komitmen kementerian untuk memastikan tiada kanak-kanak lain yang akan ditahan di bawah undang-undang itu.
