Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PSM selar MP berkecuali, tak hadir undi RUU hadkan penggal PM
Diterbitkan:  Mar 3, 2026 10:48 AM
Dikemaskini: 2:52 AM

Parti Sosialis Malaysia (PSM) menyifatkan kegagalan Rang Undang-Undang (RUU) bagi mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada 10 tahun sebagai "pengkhianatan" terhadap aspirasi demokrasi rakyat.

Timbalan Pengerusi PSM S Arutchelvan berkata, pihaknya kesal dengan keputusan undian semalam, walaupun idea itu sebelum ini mendapat sokongan secara prinsip daripada pelbagai pihak, termasuk blok pembangkang semasa perbahasan.

"Setiap ahli parlimen yang tidak hadir atau yang berkecuali daripada mengundi telah melakukan satu perkhidmatan yang teruk terhadap aspirasi demokrasi rakyat yang mereka wakili. 

“Ini adalah satu pengkhianatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

S Arutchelvan

Dalam undian malam tadi, RUU itu disokong oleh 146 anggota parlimen, ketika 44 orang berkecuali dan 32 lagi tidak hadir.

Terdahulu, Ketua pembangkang Hamzah Zainudin (Bebas-Larut) berhujah bahawa had tempoh jawatan perdana menteri akan menghakis kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong.

Bagaimanapun, kerajaan menolak dakwaan itu kerana ia hanya untuk memperkemas prinsip akauntabiliti pada jawatan eksekutif tertinggi tanpa mengubah struktur pelantikan.

Kuasa melantik perdana menteri juga, kata kerajaan, kekal pada Agong, manakala sokongan majoriti kekal ditentukan oleh Dewan Rakyat.

RUU yang membabitkan pindaan Perlembagaan Persekutuan itu memerlukan undian dua pertiga atau 148 ahli Dewan Rakyat.

‘Kalah mudah’

Menurut Arutchelvan, pindaan tersebut sepatutnya melalui proses yang mudah memandangkan ia merupakan sebahagian daripada manifesto Pakatan Harapan (PH) pada 2018, yang turut disokong oleh Bersatu, bekas komponennya yang kini berada di blok pembangkang.

Arutchelvan turut mengkritik kerajaan yang dianggap terlalu yakin sehingga kurang mengadakan perundingan mendalam, manakala pihak pembangkang pula memilih untuk tidak menyokong RUU tersebut atas faktor teknikal dan politik.

"PSM amat kecewa kerana pembaharuan yang begitu bermakna telah dikalahkan dengan senang, membelakangkan prinsip mengenai isu ini," tambahnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS