Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kerajaan rujuk RUU asing AG, pendakwa raya kepada PSSC bagi penambahbaikan
Diterbitkan:  Mar 3, 2026 2:23 PM
Dikemaskini: 6:23 AM

Kerajaan menangguhkan buat sementara waktu rang undang-undang (RUU) bagi mengasingkan kuasa peguam negara (AG) dan pendakwa raya bagi merujuknya kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) untuk penambahbaikan.

Perkara itu dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said selepas membacakan RUU itu untuk kali kedua di Dewan Rakyat hari ini.

Azalina memaklumkan satu usul telah dikemukakan bagi menangguhkan RUU berkenaan.

“Langkah ini memastikan reformasi institusi memperkukuh kebebasan institusi secara bertanggungjawab dan pada masa yang sama meningkatkan ketelusan kepada Parlimen,” katanya.

Menurutnya PSSC itu akan dipengerusikan oleh Azalina dan jawatankuasa itu akan dianggotai ahli parlimen kerajaan dan pembangkang.

Mereka yang menganggotai jawatankuasa itu ialah, William Leong (Harapan-Selayang); Syahredzan Johan (Harapan-Bangi); Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari (PH-Alor Gajah); Menteri Perladangan dan Komiditi Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong); Roy Angau Gingkoi (GPS-Lubok Antu); Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Lo Su Fui (GRS-Tawau); Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor), Hamzah Zainudin (PN-Larut), Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu), Ronald Kiandee (PN-Beluran), serta Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar).

Azalina berkata jawatankuasa itu diberi masa selama tiga bulan untuk mengemukakan penambahbaikkan RUU berkenaan.

"Jawatankuasa pilihan khas ini akan meneliti RUU tersebut termasuk berkenaan mekanisme akuantabliti Pendakwa Raya dan mencadangkan apa-apa pindaan yang difikirkan perlu," kata Azalina lagi.

Langkah kerajaan untuk merujuk RUU itu PSSC mendapat pujian daripada pihak pembangkang, dengan Takiyuddin merakamkan ucapan terima kasih khusus kepada kerajaan atas tindakan itu.

Katanya, pembangkang sebagai elemen semak dan imbang tidak sepatutnya dipinggirkan kerajaan dalam apa juga perbincangan RUU.

Penangguhan ini menyusul selepas kritikan daripada organisasi masyarakat sivil (CSO) dan ahli parlimen PKR, yang menuntut agar Parlimen dilibatkan dalam pelantikan Pendakwa Raya.

Mereka berhujah bahawa RUU dalam bentuk sedia ada memusatkan kuasa kepada Perdana Menteri dan Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (JLSC).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS