Bekas naib presiden PKR, Sivarasa Rasiah mengesahkan bahawa pada 2016, dia bersama-sama beberapa pimpinan parti telah berhubung dengan sebuah firma perunding politik berpangkalan di Amerika Syarikat bagi mendapatkan sokongan untuk membebaskan Anwar Ibrahim daripada penjara.
Dia berkata demikian sebagai respons kepada laporan MalaysiaNow yang memetik e-mel bocor, dengan mendakwa PKR bekerjasama dengan firma berpangkalan di Washington untuk memberi tekanan kepada perdana menteri ketika itu, Najib Razak.
Ketika ditanya sama ada e-mel tersebut tulen, Sivarasa berkata memang terdapat kiraman e-mel pada 2016 antara dia dan beberapa pemimpin PKR lain dengan ketua Perseus Strategies, Jared Genser.
Bagaimanapun, Sivarasa menegaskan bahawa usaha melobi pembebasan tahanan politik adalah perkara biasa dan “boleh diterima sepenuhnya”.
Katanya, ketika e-mel itu dihantar, penahanan Anwar atas pertuduhan liwat kali kedua telah pun dirujuk kepada Kumpulan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Penahanan Arbitrari (UN Working Group on Arbitrary Detention - WGAD).

“Perbincangan dengan Genser adalah mengenai kempen global di beberapa negara termasuk Amerika Syarikat untuk memberi tekanan bagi pembebasan Anwar yang sekali lagi dipenjarakan secara tidak adil pada Februari 2015.
“Tidak banyak hasil daripada usaha tersebut. Anwar kekal di penjara sehingga Najib tewas dalam pilihan raya umum pada Mei 2018,” katanya kepada Malaysiakini.
Anwar kemudiannya diberikan pengampunan penuh selepas PH mengambil alih petadbiran kerajaan.
Lobi juga dilakukan pada 1998
Sementara itu, Sivarasa berkata usaha melobi bagi membebaskan Anwar turut dilakukan ketika presiden PKR itu dipenjarakan pada 1998, dan menambah bahawa usaha sedemikian juga dibuat bagi tahanan politik lain termasuk Nelson Mandela.
“Anwar merupakan tahanan politik paling terkenal di dunia ketika dua pemenjaraan tidak adil dikenakan ke atasnya, pertama oleh Mahathir Mohamad dan kemudian Najib,” kata bekas Ahli Parlimen Sungai Buloh itu.
Selain isu pembebasan Anwar, laporan MalaysiaNow turut memetik Genser mencadangkan cara mempengaruhi White House untuk membina tekanan politik terhadap kerajaan Najib yang ketika itu berdepan skandal kewangan global 1MDB.

Timbalan presiden PKR Nurul Izzah Anwar dilaporkan turut menerima e-mel tersebut dan Malaysiakini telah menghubungi anak perdana menteri itu untuk mendapatkan maklum balas.
‘Pelan komunikasi’
Laporan MalaysiaNow itu muncul susulan kebocoran dokumen setebal 13 halaman yang difahamkan sebagai “pelan komunikasi” disediakan pada Ogos tahun lalu, dipercayai sebahagian daripada usaha keluarga Allahyarham Daim Zainuddin untuk mempertahankan reputasinya susulan tindakan undang-undang oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Pelan tersebut, yang dirancang untuk tempoh dua tahun sehingga pilihan raya umum akan datang, menggariskan strategi yang dilihat bertujuan mencabar naratif kerajaan dengan membingkaikan prosiding undang-undang terhadap Daim dan keluarganya sebagai serangan bermotif politik, dan bukannya usaha anti-rasuah yang sah.

Di bawah subtajuk “positioning”, antara perkara dinyatakan ialah untuk “menimbulkan keraguan terhadap masa dan motif politik” selain memanusiakan Daim dan keluarganya, serta membingkaikan semula perdebatan awam mengenai keadilan, proses sewajarnya dan ketelusan.
Polis kini menyiasat pelan perhubungan awam tersebut sebagai cubaan melemahkan kerajaan.
Terdahulu, di Parlimen Anwar ketika ditanya mengapa lobi PKR dianggap boleh diterima tetapi lobi Daim tidak, dia berkata kedua-duanya tidak sama kerana satu merupakan perjuangan untuk kebebasan manakala satu lagi bertujuan melemahkan kerajaan.
