Penduduk di Rumah Pangsa Kayu Ara terpaksa menempuh detik sukar apabila 265 keluarga hidup tanpa bekalan elektrik selama tujuh hari berturut-turut, selepas kotak suis utama (main switchboard) meletup pada 25 Februari lalu.
Ketua Pemuda MIC, K Arvind, yang meninjau keadaan itu sejak Sabtu, menyatakan kesal terhadap kelewatan pihak berkuasa menyelesaikan isu berkenaan.
"Walaupun pihak TNB telah menyediakan set generator (genset) sementara untuk lif, ia masih tidak mencukupi untuk memulihkan bekalan ke unit-unit rumah kerana masalah teknikal di bawah tanggungjawab Badan Pengurusan Bersama (JMB).
"Saya bukan mahu bermain politik, tetapi ini soal nyawa dan kebajikan (penduduk). Bayangkan dalam bulan Ramadan ini, makanan rosak, anak-anak susah hendak ke sekolah, dan cuaca pula panas terik.

"Kami sedia membantu membawa chargeman sendiri, namun JMB menyatakan terdapat prosedur rumit melibatkan kelulusan Pejabat Tanah dan isu insurans yang melambatkan proses pembaikan," katanya kepada Malaysiakini.
Situasi bertambah parah pada tiga hari pertama gangguan apabila penduduk turut terputus bekalan air kerana pam air tidak berfungsi tanpa elektrik.
Selain itu lif juga berhenti sepenuhnya, menyukarkan pergerakan warga emas dan OKU.
Keperitan penduduk itu turut dikongsikan Zurayda Mohd Raya, 61, yang telah menetap di pangsapuri itu selama 23 tahun.

"Tiga hari pertama memang seksa sebab air tak ada, lif pun tak jalan. Sekarang air dan lif sudah ada sedikit, tapi dalam rumah masih gelap gelita. Kami dah penat, harap sangat benda ni selesai cepat," katanya.
Penduduk kini hanya bergantung kepada lampu koridor yang malap untuk aktiviti harian seperti memasak dan mandi. Zurayda merayu agar kerajaan negeri atau pihak berkuasa tempatan segera turun padang tanpa menunggu prosedur lama.
Sementara itu, Arvind turut mempersoalkan ketiadaan Adun Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin.
"Masalah ini sepatutnya boleh diselesaikan dengan satu panggilan telefon kepada agensi berkaitan jika ada kesungguhan politik. Sekarang mereka menderita, di mana pemimpin yang mereka undi?
"Lebih mengejutkan, bila Pemuda MIC hantar mesej kepada YB untuk turun ke sini, dia membalas: 'jangan MIC politikkan isu ini'.
“Orang di sini duduk dalam kegelapan, kamu tak nak datang. Bila minta turun, kamu kata jangan politikkan isu ini. Jangan jadikan rakyat sebagai permainan untuk pilihan raya sahaja," katanya.
Malaysiakini telah menghubungi Jamaliah untuk mendapatkan komen.
